Saturday 23 March 2013

Ashun curi tumpuan



ASHUN mencuri tumpuan pada aksi pusingan kedua semalam apabila menamatkan saingan dengan catatan empat bawah par 68, sekali gus memimpin kedudukan keseluruhan.


KEBANGKITAN pemain China, Wu Ashun yang mengikat kedudukan sebagai pendahulu pusingan kedua, berjaya mencuri perhatian pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2013.
Lima birdie yang dicatat sepanjang aksi semalam, pemain berusia 28 tahun itu nyata teruja apabila berjaya menamatkan saingan dengan sembilan pukulan bawah par 135 keseluruhan.
“Putting saya benar-benar menjadi dan itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya selepas selesai aksi pusingan kedua di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara semalam.
“Saya berjaya membaca keadaan lapangan dengan baik dan mengharungi permainan dengan tenang. Itu antara faktor terhadap keberkesanan prestasi saya hari ini (semalam),” tambahnya yang pernah beraksi di KLGCC pada tahun 2010.
Ashun yang mencatat empat bawah par 68 semalam, mengakui amat penting untuk bermain dengan strategi yang betul.
“Pemilihan club yang betul untuk membuat pukulan juga amat penting. Di samping itu, saya perlu berada dalam keadaan yang bertenaga,” katanya yang kini berada di ranking ke-190 dunia.
Enggan berada dalam tekanan selepas berjaya menyamakan kedudukan dengan pemain tumpuan dari Afrika Selatan, Charl Schwartzel, Ashun menyatakan bahawa dia akan terus mengekalkan corak permainannya untuk mengharungi perlawanan seterusnya.
“Saya akan terus bermain dengan tenang dan menikmati permainan saya walaupun sedar, saingan selepas ini akan lebih mencabar,” ulasnya

No comments:

Post a Comment