Friday 22 March 2013

Bangunan Istana Presiden terbakar


API kelihatan marak di sebuah bangunan di dalam kawasan Istana Presiden Indonesia di Jakarta semalam..


JAKARTA - Kepulan asap berwarna hitam menjulang dari bumbung sebuah bangunan pentadbiran yang terletak di dalam kawasan Istana Presiden Indonesia semalam.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan berlaku.
Seorang pegawai khas kepada Presiden Indonesia, Daniel Sparingga berkata, tingkat tiga dan empat di bangunan Sekretariat Negara itu terbakar pada pukul 5 petang waktu tempatan.
Ketika kejadian, semua pekerja telah pulang ke rumah masing-masing.
Sparingga berkata, sebanyak 30 buah jentera bomba dihantar ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Kebakaran itu berlaku dalam tempoh lebih sejam.
Bangunan yang terbakar itu terletak kira-kira 50 meter dari pejabat Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Ketika kejadian, Susilo mempengerusikan mesyuarat kabinet.
Sparingga berkata, tiada dokumen penting pentadbiran yang disimpan di bangunan yang terbakar itu.
Bahagian paling atas bangunan itu yang menempatkan stor dan bilik mesyuarat mengalami kerosakan yang teruk.
Punca kejadian masih belum diketahui. - AP

No comments:

Post a Comment