Friday 22 March 2013

Buang sindrom hilang fokus


K. Rajagobal memberikan arahan kepada pemain pada sesi latihan di Stadium Shah Alam semalam menjelang Kelayakan Piala Asia menentang Yemen, hari ini. - UTUSAN/Wahidin Salim
SHAH ALAM - Kerap hilang fokus sehingga mudah dibolosi pada minit akhir perlawanan harus diatasi jika Harimau Malaya mahu memastikan tiga mata penuh apabila menentang Yemen dalam Kelayakan Piala Asia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Lantaran itu, pengendali skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal mahu pemain membuang 'penyakit hilang fokus' seperti mana dalam dua perlawanan terakhir untuk memastikan kemenangan menjadi milik Harimau Malaya.
Pada perlawanan sulung Kelayakan Piala Asia menentang Qatar di padang lawan, kesilapan K. Reuben membuka ruang kepada pemain lawan menjaringkan gol pada minit akhir ketika kita kalah 0-2.
'Sindrom hilang fokus' berterusan Ahad lalu di Stadium Shah Alam apabila gawang negara dibolosi dua gol pada penghujung perlawanan ketika kalah 1-4 kepada Arab Saudi dalam aksi persahabatan.
"Saya akui pemain kerap hilang fokus terutama pada lewat perlawanan.
"Perkara ini sudah saya tegas berulang kali kepada pemain supaya tidak buat kesilapan sama.
"Mereka perlu mengekalkan konsentrasi sehingga perlawanan berakhir, tidak boleh hilang tumpuan walaupun ketika menguasai permainan," katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan Malaysia dan Yemen.
Menentang pasukan pada ranking ke-170 dunia, Rajagobal tidak mempunyai pilihan lain selain meraih tiga mata.
"Kami mahukan tiga mata, kita akan guna kelebihan sebagai tuan rumah untuk meraih keputusan yang baik, " katanya.
Rajagobal dijangka menyandarkan harapan kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Amri Yahyah di bahagian serangan bagi mengatasi masalah kebuntuan jaringan di samping berkemungkinan menggandingkan Safiq Rahim serta K. Gurusamy untuk mengemudi jentera tengah.
Sekembalinya Wan Zack Haikal Wan Noor daripada masalah kecederaan pasti memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal untuk mengisi sayap kanan dan bahagian kiri bakal ditampung Ashari Samsudin.

No comments:

Post a Comment