Tuesday 19 March 2013

Bukan faktor kewangan saya pulang - Fakri


Annuar Musa bersalam dengan Ahmad Fakri pada majlis memperkenalkan pemain itu kepada media di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Irwan Majid
KOTA BHARU - Penggempur baharu The Red Warriors, Ahmad Fakri Saarani menyifatkan kepulangannya untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bukan disebabkan faktor kewangan sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Ahmad Fakri berkata, keputusan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga M dibuat selepas saingan liga di Portugal tamat.
"Saya balik sebab saingan liga di sana telah habis. Ketika saya beraksi dengan pasukan Atletico SC saingan liga berkenaan sudah memasuki peringkat pertengahan.
"Sementara duduk di sana tanpa berbuat apa, saya mendapat tawaran dari beberapa pasukan untuk beraksi dalam saingan Liga M. Saya ada menunggu maklum balas pasukan berkenaan berhubung penyambungan kontrak, namun difahamkan ada masalah.
"Ejen saya telah ke sana dan berbincang mengenai masalah ini. Keputusan yang terbaik diambil ialah pulang ke tanah air dan akhirnya memilih untuk menyarung jersi The Red Warrriors," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini, semalam.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan krisis kewangan mungkin menyebabkan kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC memberi pilihan buat Ahmad Fakri Saarani memilih untuk meninggalkan kelab yang disertainya itu sejak Januari lalu.
Mengulas mengenai kenapa beliau memilih untuk menyarung jersi Kelantan, Ahmad Fakri memberitahu keputusan itu dibuat selepas melihat prestasi yang dipamerkan oleh The Red Warriors dalam saingan musim ini.
"Saya bertekad untuk menggunakan segala pengalaman yang ditimba sepanjang berada di Portugal untuk membantu pasukan Kelantan musim ini.
"Impian saya untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan memberikan aksi terbaik buat penyokong setia Kelantan," ujarnya.
Ahmad Fakri yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan memulakan kerjaya selaku pemain bola sepak skuad Piala Presiden Perak pada tahun 2006 sebelum menyertai pasukan senior selama dua musim (2007 hingga 2008).
Bintang Ahmad Fakri terus bersinar apabila beliau kemudiannya dipanggil menyertai skuad Harimau Muda A pada musim 2008 hingga 2009.
Selain itu, dia juga pernah beraksi dengan beberapa pasukan seperti Perlis, Negeri Sembilan dan penampilan terakhirnya dalam Liga M musim lalu bersama Felda United.

No comments:

Post a Comment