Tuesday 19 March 2013

Chelsea lonjak ke tangga ketiga



LAMPARD (dua dari kiri) menanduk masuk gol pertama Chelsea ketika pasukannya menewaskan West Ham 2-0 kelmarin.


LONDON - Frank Lampard meraikan pencapaian terbaharu dalam karier bola sepaknya apabila menjaringkan gol ke-200 sepanjang bersama Chelsea ketika membantu The Blues menang 2-0 ke atas bekas kelabnya, West Ham dalam aksi Liga Perdana England semalam.
Turun membuat penampilan ke-595 di Stamford Bridge, Lampard menanduk masuk bola hantaran Eden Hazard pada minit ke-19, sekali gus menyaksikan dia kini dua gol di belakang rekod penjaring terbanyak kelab London itu, Bobby Tambling yang menjaringkan 202 gol.
Hazard kemudian meledakkan gol kedua pada minit ke-50 untuk memastikan Chelsea naik ke tangga ketiga, satu mata mengatasi Tottenham Hotspur dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
"Hari ini (semalam) adalah antara yang terbaik dalam hidup saya," kata Lampard.
"Sudah tentu memenangi trofi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana England adalah yang terbaik dalam karier saya.
"Namun, secara peribadinya, untuk menyumbang 200 gol buat kelab ini, saya tidak pernah fikir mampu melakukannya. Jadi, sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini.
"Ramai orang sering berbicara tentang rekod jaringan tetapi saya lebih suka mendiamkan diri. Apa yang paling penting ialah kami cuba mendapatkan gol untuk menang.
"Kami dalam prestasi yang baik ketika ini dan semua orang boleh merasakannya. Suasana dalam bilik persalinan juga sungguh bersemangat dan kami perlu meneruskannya sehingga ke hujung musim."
Lampard yang menyertai Chelsea dari West Ham dengan harga £11 juta (RM52.1 juta) pada 2011, setakat ini sudah menjaringkan 12 gol musim ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment