Saturday 23 March 2013

Fun. diformat semula


FUN. mengakui mahu mengadakan konsert solo khas di Malaysia pada tahun depan jika diberi peluang.


NOKTAH selepas ejaan F-U-N itu yang membezakan makna Fun. sebagai sebuah band dan istilah fun sebagai interpretasi mewakili faktor keseronokan tanpa sempadan.
Sebenarnya makna itu juga ironi kepada kemunculan band Fun. yang disifatkan sendiri oleh vokalisnya, Nate Ruess ketika ditemu ramah Kosmo! baru-baru ini.
Kata Nate, sejak awal penubuhan Fun. pada tahun 2009 bersama album sulung, Aim and Ignite, titik tersebut yang membantu mereka menaikkan nama band mereka itu.
"Oleh kerana nama kami dieja F-U-N, kami tidak fikir bahawa peminat dengan senangnya akan mengakses perkembangan kami tanpa titik itu. Jadi untuk mengelakkan kekeliruan saya meletakkan titik di hujung ejaan itu," katanya yang ditemui di belakang pentas sebelum membuat persembahan pada acara Future Music Festival Asia 2013 (FMFA 2013) di Sepang, Selangor hujung minggu lepas.
Fun. bermula selepas Nate membubarkan kumpulan asalnya The Format yang sebelum ini pernah dianggotai oleh Mike Schey, Mark Buzard dan Don Raymond pada tahun 2008.
Nate lalu disertai dua rakannya, Andrew Dost (Anathallo) dan Jack Antonoff (Steel Train) untuk membentuk band yang diberi nama Fun. dan membuktikan mereka bukan sekadar kumpulan muzik anak muda yang biasa-biasa sahaja tetapi diiktiraf atas dasar prestij.
Mereka dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Artis Baharu Terbaik dan Lagu Terbaik (We Are Young) pada majlis Grammy Awards ke-51, Februari lalu.
Ulas Nate: "Perasaan teruja yang bercampur-baur dengan gembira susah diungkapkan dengan kata-kata.
"Hidup kami seperti dijenamakan semula selepas memenangi dua anugerah pada malam itu (Grammy Awards ke-51) dan kenangan itu sukar untuk digambarkan.
"Kami tidak menjangka akan kemenangan itu dan tidak menduga kami terpilih untuk meraikan detik-detik indah itu.

FUN. dianggotai tiga anak muda yang penuh bertenaga (dari kiri), Andrew, Nate dan Jack.


Konsert solo
Sementara itu, Nate yang hadir untuk membuat persembahan sempena parti muzik terbesar Asia Tenggara, FMFA 2013 minggu lalu meluahkan rasa teruja untuk kembali beraksi di Malaysia pada masa akan datang.
"Ini merupakan kali pertama saya datang ke Kuala Lumpur, biarpun hanya dapat melihat kota ini melalui tingkap kapal terbang kami dan tidak sempat pun untuk bersiar-siar, saya berharap untuk kembali semula ke sini untuk konsert solo Fun.," tambahnya.
Anak kelahiran Arizona, Amerika Syarikat ini dalam pada itu memberitahu, Fun. berkemungkinan besar akan mengadakan konsert solo khas di Malaysia tahun hadapan, jika diberi peluang.
Fun. kini dalam rangka promosi menerusi siri konsert jelajah seluruh dunia dan selepas membuat persembahan pada FMFA 2013, mereka kembali ke Amerika Syarikat untuk meneruskan konsert bergerak band ini, yang mana sebelum muncul di Malaysia, mereka telah membuat persembahan konsert di Singapura.
"Tahun ini tiada album baharu daripada Fun., cukup untuk membuat konsert dan berjumpa peminat kami seluruh dunia.
"Selepas ini kami akan berehat seketika, meluangkan masa bersama keluarga atau bercuti sebelum kembali bekerja untuk album berikutnya pada tahun depan," ungkap Nate.

KEJAYAAN memenangi dua anugerah pada Grammy Awards 2013 Februari lalu menyuntik semangat baharu buat Fun. untuk terus berkarya.


Kolaborasi P!nk
Perjalanan karier Nate Ruess yang sudah berkecimpung dalam bidang nyanyian selama 12 tahun pastinya tidak menjadi satu perkara yang mustahil untuk disunting penyanyi terkenal untuk berkolaborasi.
Terbaharu, Nate tampil menyumbangkan vokal mantapnya menerusi lagu duet bersama P!nk untuk album The Truth About Love menerusi lagu Just Give Me a Reason.
Nate sebelum ini pernah berduet dengan Anthony Green dalam album solo kedua penyanyi kelahiran Philadelphia, Amerika Syarikat itu yang berjudul Beautiful Things.
Nate menyifatkan kolaborasi dengan P!nk merupakan satu penghargaan dan perkembangan positif karier seninya.
"Dia seorang penyanyi yang bersemangat dan tidak pernah berputus asa dalam kariernya. P!nk selamba dan saya diberikan peluang untuk menyampaikan lagu itu dalam versi rock.
"Sangat susah sebenarnya untuk saya menyanyi bersama seorang bintang yang sangat terkenal dan berbakat besar. Saya berbangga dapat mengenalinya dan mungkin dia sukakan saya kerana saya pelik!" tutur Nate yang turut menulis lirik untuk lagu Die Young nyanyian Ke$ha.

No comments:

Post a Comment