Friday 15 March 2013

Gol pertama suntik semangat kami - Messi



MADRID - Penyerang sensasi Barcelona, Lionel Messi (gambar) memuji kebangkitan drastik pasukan itu untuk menempah slot ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini.
Selepas tewas 0-2 pada pertemuan pertama kalah mati, Barcelona menampilkan aksi yang menakjubkan apabila membelasah AC Milan 4-0, sekali gus layak dengan agregat 4-2 di Stadium Nou Camp kelmarin.
Kejayaan mara ke suku akhir itu adalah yang keenam berturut-turut bagi skuad The Catalan selepas menundukkan kelab gergasi Itali tersebut.
Messi menyuntik keyakinan pemain Barcelona apabila meledak dua gol pada separuh masa pertama.
Penyerang Sepanyol, David Villa melebarkan kedudukan apabila menjaringkan gol ketiga Barcelona sebelum pemain pertahanan, Jordi Alba melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah pada masa kecederaan.
Messi berkata, dia yakin gol pertama yang dijaringkannya menjadi faktor utama kebangkitan Barcelona bagi mengatasi Milan di laman sendiri.
"Pada minit kelima, kami berjaya mendapatkan satu gol penting dan selepas itu kami terus mengasak Milan dari setiap posisi," kata Messi.
"Kami terdesak untuk mencari gol pembukaan secepat mungkin dalam usaha untuk mengurangkan defisit jaringan selain mahu meredakan perasaan gelisah para penyokong.
"(Ketika meledakkan gol pertama Barcelona), ia berlaku dengan pantas. Sebaik bola tiba di kaki saya, saya terus menendang dan berjaya menjaringkan gol.
"Sebab itu kami meraikan jaringan itu dengan penuh kegembiraan."
Barcelona dikritik hebat selepas tewas kepada Milan, diikuti dengan dua kekalahan di tangan pencabar utama, Real Madrid pada aksi Liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol.
Namun, Messi mengakui yang dia sentiasa memiliki keyakinan bahawa barisan pemain Barca akan bangkit daripada prestasi hambar itu.
Untuk rekod, Barcelona tewas 1-2 kepada Real pada aksi liga dan 1-3 dalam saingan Piala Raja Sepanyol.
"Kami sentiasa memberikan persembahan terbaik dalam tempoh beberapa tahun lalu. Mungkin sejak beberapa perlawanan lalu, kami gagal melakukannya.
"Kami mengetahui apa yang perlu kami lakukan untuk layak ke suku akhir Liga Juara- Juara dan Barcelona harus bermain seperti biasa," ujarnya. - AFP

No comments:

Post a Comment