Sunday 17 March 2013

Harapan City pintas United makin pudar


PEMAIN-pemain Manchester City kecewa selepas Everton membolosi gawang mereka untuk kali kedua dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, semalam. City kalah 2-0. - AP
LIVERPOOL - Peluang penyandang Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City untuk mengurangkan jurang 12 mata di belakang pendahulu, Manchester United semakin sukar apabila tewas kepada Everton 2-0 di Goodison Park hasil jaringan Leon Osman pada minit ke-32 dan minit terakhir pada masa kecederaan melalui Nikica Jelavic.
Walaupun lawan terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain pada 30 minit terakhir perlawanan, kesempatan itu gagal diambil oleh City yang dihampakan oleh kecemerlangan penjaga gol Everton, Jan Mucha.
Jaringan menakjubkan daripada Osman memberi pendahuluan berharga kepada tuan rumah apabila bola rembatannya membuatkan Joe Hart yang juga penjaga gol No. 1 England langsung tidak bergerak dan terpaku melihat bola menerjah gawang.
Gol itu membuatkan City tersentak dan melancarkan serangan bertali arus, terutama melalui Carlos Tevez namun gagal memecah kekentalan pertahanan Everton yang berdisiplin.
Steven Pienaar dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-61 tetapi semangat tuan rumah untuk memenangi perlawanan tidak padam.
Pengadil membuat keputusan kontroversi apabila tidak memberi sepakan penalti kepada City selepas bola jelas mengenai tangan Marouane Fellaini pada minit ke-88.
Ketika City leka menyerang, tindakan David Moyes memasukkan dua penyerang, Steven Naismith dan Jelavic pada 20 minit terakhir permainan memberi pulangan apabila serangan balas pada minit terakhir perlawanan mengesahkan kemenangan Everton. - Agensi

No comments:

Post a Comment