Thursday 14 March 2013

Harimau Muda ke Slovakia asah taring


SUBANG - Walaupun tidak banyak perlawanan kompetitif akan dilalui oleh pasukan Harimau Muda A dalam usaha mempertahankan ibu segala pingat emas di Sukan SEA, jurulatihnya, Ong Kim Swee tetap yakin persiapan selama lima bulan di Slovakia, Hungary dan Republik Czech akan memberikan pulangan setimpal.
''Kita telah mencapai perjanjian dengan ejen yang mengatur perlawanan kita di sana supaya pasukan yang mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan kita perlu membawa turun sekurang-kurangnya 80 peratus pemain dari kesebelasan utama.
''Ini cara terbaik buat kita bagi memastikan semua pemain mendapat perlawanan yang berkualiti dengan menentang pemain-pemain terbaik yang ada pada satu pasukan," katanya.
Pasukan-pasukan yang akan ditemui oleh Harimau Muda A sepanjang di Slovakia ialah MSK Zilina, pasukan yang pernah bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara pada tahun 2010/11.
Selain itu, MFK Ruzemberok, FC Nitra, MFK Myjava, FK Senica, ViON Zlate Moravce dan FK Dukla, Budapest Ujpest FC dari Hungary dan Slavia Prag (Republik Czech).
Harimau Muda A akan terlebih dahulu membuka tirai perlawanan persahabatan berdepan pasukan Bawah 19 tahun Slovakia pada 23 Mac ini.
Mereka hanya akan pulang ke tanah air beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebelum ini, Harimau Muda A telah menjadikan Australia sebagai destinasi pertama latihan dari 23 Januari hingga 7 Februari lalu.
Hanya dua kejohanan akan dilalui oleh anak-anak buah Kim Swee sebelum ke Myanmar iaitu Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Rusia pada Julai ini dan Pestabola Merdeka yang dijadual berlangsung pada September.
Mengenai persiapan yang mahu dilakukan, Kim Swee berkata, dia meletak beberapa matlamat tertentu yang mahu dicapai sepanjang di bumi Eropah terutama pada aspek mempertingkatkan prestasi pemain.
''Sasaran saya adalah untuk mengenalpasti kelemahan yang kita ada sepanjang berada di sana di samping mencari keseimbangan antara bertahan dan menyerang.
''Saya berharap kita akan mempunyai kombinasi lebih baik di antara pemain dan lebih banyak mengamalkan hantaran-hantaran pendek termasuk di bahagian pertahanan," katanya.

No comments:

Post a Comment