Thursday 28 March 2013

Jamalul Kiram mahu pihak pemerintah Filipina temuinya


MANILA - Pihak pemerintah Filipina diminta untuk menemui pemimpin ketua pengganas Sulu, Jamalul Kiram III terlebih dulu sebelum membuat sebarang tindakan untuk mengemukakan tuntutan ke atas Sabah, lapor portal berita Philstar.com semalam.
Jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani memberitahu, kerjasama antara Istana Presiden dan pihaknya akan menguatkan tuntutan Filipina ke atas Sabah.
"Kami boleh menyatakan bahawa beliau (Jamalul Kiram) merupakan pemilik Sabah," katanya kepada pemberita di kediaman Jamalul Kiram di Kampung Maharlika di bandar Taguig.
Menurut Idjirani, Jamalul Kiram mempunyai kuasa khas untuk membenarkan pemerintah Filipina untuk menuntut Sabah.
Beliau berkata, Malaysia takut untuk kehilangan Sabah menerusi pungutan suara jika diminta dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jamalul Kiram menghantar para pengikutnya dalam jumlah yang kecil ke Lahad Datu untuk menuntut tanah yang didakwa warisan nenek moyangnya sejak 12 Februari lalu.
Pertempuran kemudian berlaku antara kumpulan tersebut dengan pasukan keselamatan Malaysia sehingga mengakibatkan sejumlah kematian.
Kelmarin, media Filipina melaporkan, satu panel yang diketuai Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila de Lima menghantar satu laporan undang-udang tentang tuntutan ke atas Sabah kepada Istana Malacanang yang merupakan pejabat Presiden Benigno Aquino III.
Menurut Aquino, beliau belum melihat laporan tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment