Wednesday 20 March 2013

Jangan hanya gah pada nama'


Subahan Kamal
PETALING JAYA - Sekian lama memendam rasa, pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal akhirnya bersuara semalam apabila menuntut pemain berstatus bintang menjelmakan peranan mereka selepas aksi lesu ketika menentang Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan, Ahad lalu.
Tidak mahu terlalu menyalahkan jurulatih, Datuk K. Rajagobal di atas kekalahan 1-4 di Stadium Shah Alam, Subahan sukar menerima hakikat itu kerana skuad negara sepatutnya boleh meraih keputusan yang lebih baik.
Tanpa menamakan mana-mana pemain, beliau tidak mahu sindrom 'indah khabar dari rupa' membelenggu para pemain bintang yang menjadi nadi utama Harimau Malaya dan menggesa agar mereka segera bangkit ketika bertemu Yemen dalam Kelayakan Piala Asia, Jumaat ini.
"Kekalahan 1-4 bagi saya terlalu banyak, kalau kita kalah 1-2, saya boleh terima lagi... tetapi kita melepaskan dua gol pada minit ke-89 dan ke-92, kalau berterusan begini, saya tidak fikir kita boleh pergi ke mana-mana.
"Banyak orang mencari salah jurulatih tetapi pemain pun kena bagi yang terbaik... tiada guna kalau nama sahaja gah dalam kalangan peminat tetapi bila di atas padang, mereka tidak sedemikian, penyokong pun boleh lari dan mutu bola sepak kita kekal sebegini.
"Pemain kena lebih konsisten dalam tiap perlawanan, semasa perlawanan tempoh hari, saya langsung tidak mendengar suara dan komunikasi sesama pemain.
"Jika kita meneruskan aksi yang sama, kita tidak akan pergi ke mana-mana dan menentang Yemen, kita wajib menang jika mahu meneruskan perjuangan dalam kelayakan Piala Asia 2015.
"Saya tidak boleh menerima alasan lain selain daripada kemenangan sahaja, Jumaat ini," katanya yang ditemui di padang latihan Wisma FAM, semalam.
Subahan turut mencabar barisan penyerang Harimau Malaya bangkit membuktikan mereka masih mampu menggalas harapan yang disandarkan ketika menentang Yemen.
"Apa yang dikatakan oleh Datuk K. Rajagobal mengenai mutu penyerang kita, saya anggap satu cabaran kepada pemain supaya dapat tunjukkan pendapat itu adalah salah," katanya.
Sementara itu, Rajagobal yang ditemui mengesahkan pemain sayap yang bakal berhijrah ke FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Noor, sempat pulih dan akan diturunkan ketika bertemu Yemen.
"Mengikut laporan yang dikemukakan oleh fisioterapi, Wan Zack sudah boleh menyertai latihan pada hari ini (semalam) dan hampir pasti dapat beraksi.
"Kehadiran dia pasti akan memberikan lebih banyak pilihan kepada saya semasa menentang Yemen," katanya.

No comments:

Post a Comment