Sunday 24 March 2013

Kelahiran semula Asmidar




BIAR Mimpi Sampai Ke Bintang sudah menjadi metafora terindah yang pernah dilagukan oleh Asmidar. Biarpun dia sendiri tidak dihujani bintang, namun melodi dan lirik indah itu membuatkan namanya masih diingati sehingga kini.
Berjaya menerjah sehingga ke peringkat semi final Muzik-Muzik sudah cukup menjadi pengukur kejayaan juara Vokal Bukan Sekadar Rupa itu. Sampai hari ini, dia mahu terbang lebih jauh dan kali ini, Kali Pertama menjadi pertaruhan terbaharu wanita berusia 27 tahun itu dalam mengisi kembara seninya.
"Saya masih belum berada di mana-mana tahap pun. Single pertama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu sekadar membuka jalan untuk meneruskan perjalanan saya. Sekarang, album sulung Kali Pertama menjadi landasan untuk saya terus melangkah. Kalau boleh saya mahu berlari dan terbang lebih tinggi," katanya menunduk penuh kerendahan hati.
Mengambil resam kupu-kupu yang terbit daripada kepompong kelabu, Asmidar turut mengibaratkan penghasilan album studio sulungnya itu sebagai sebuah metamorfosis.
"Saya cuma mahu menjadi sebahagian daripada warna-warna dalam industri. Kupu-kupu ibarat sebuah kelahiran semula dan saya tertarik untuk menjadi imej kupu-kupu itu ke dalam penggambaran video klip single kedua saya, Kali Pertama.
"Sudah tentulah saya mahu kemunculan kali ini lebih berwarna berbanding kemunculan awal tahun lalu. Tahun lepas saya mendapat rahmat ekoran kemenangan dalam program realiti dan single yang diterima ramai. Itu platform untuk saya dan tahun ini pula, saya mahu mengukuhkan lagi nama Asmidar dalam hati khalayak," katanya yang kini mempertaruhkan single keduanya, Kali Pertama.
Keluar kepompong
Bersisa banyak sifat malu dan kekok saat beraksi depan lensa kamera, Asmidar optimis dengan setiap kelemahan yang masih sedang diperbaiki. Perlahan-lahan membuang saki-baki kurang keyakinan diri yang selama ini berbalut kemas pada tubuhnya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini sebenarnya masih gusar. Dia bimbang dilabel terkena renjatan budaya walaupun sudah berbelas tahun terlibat dalam dunia nyanyian.
MAHU keluar daripada fasa awal kemunculannya ketika mula-mula muncul sebagai juara Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar menyandarkan harapan kepada album Kali Pertama untuk mewarnakan lagi perjalanan karier nyanyiannya dalam industri muzik tanah air.


"Memanglah saya menyanyi sejak di bangku sekolah. Selalu masuk pertandingan di RTM dan kemudian menang dalam program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa. Pengalaman-pengalaman lepas itu sedikit sebanyak buat saya rasa rendah diri.
"Saya mungkin tidak akan mampu membuang jauh-jauh perasaan malu dan rendah diri, tapi saya banyak belajar cara membawa diri di khalayak ramai, cara bergaul dengan orang-orang dalam industri dan media. Saya akui kadang-kadang tidak boleh terlalu menjadi diri sendiri jika mahu betul-betul mahu disenangi," katanya jujur.
Dia juga berazam mahu menyertai kelas tarian untuk mempelbagaikan persembahan ketika beraksi di atas pentas nyanyian.
"Kalau saya mahu terlalu menjadi diri sendiri, saya tak buat buat kerja ini (menyanyi). Saya tak bermaksud untuk menjadi hipokrit atau jadi orang lain tapi saya kena sedar bahawa ada bahagian ruang peribadi yang disimpan khusus untuk diri sendiri. Saya jenis yang kurang bersosial untuk berada dalam industri ini, saya berkawan dengan setiap lapisan orang. Kena pandai bawa diri," katanya lagi tentang budaya industri hiburan yang sedang benar-benar mahu difahaminya.
"Saya bernasib baik kerana berada dalam keluarga yang tidak pernah jemu memberi sokongan. Saya juga banyak belajar daripada bapa saudara, Tiar Zainal yang juga seorang jurusolek profesional dalam industri. Saya juga sering ditemani ayah untuk ke mana-mana acara atau aktiviti seni, rasa selamat dan tak jauh daripada keluarga," katanya sudah bernaung menjadi artis rakaman Warner Music sejak pertengahan tahun lepas.
Selain Kali Pertama gubahan Audi Mok, lagu-lagu yang terkandung dalam album pertama Asmidar termasuklah Pesona Cinta oleh Ana Rafali, Sepenggal Kisah Lama (Bayu Laluna), Sepasang Sudu (Awi Rafael), Bila Cinta (Acap) serta lagu-lagu daripada Hang Dimas (Hujan), Omar K dan Taja (Meet Uncle Hussin).
Konsep album pilihan sendiri
Masih kekal dalam konsep pop dan balada secara keseluruhan, istimewanya bagi Asmidar, album berkenaan terhasil sepenuhnya atas kepuasan peribadinya.
BIARLAH bukan rupa yang menjadi sandaran mutlak buatnya, Asmidar yakin kepada usaha, bakat, semangat ingin memperbaiki diri dan kesungguhan untuk terus berjuang sebagai azimat untuk dia terus melangkah memperjuangkan kecintaannya dalam bidang seni suara.


"Alhamdulillah, pihak syarikat banyak beri kebebasan dalam pemilihan komposer. Lagu-lagu yang terisi pula hasil perbincangan bersama," katanya yang selesa membawakan rentak balada.
Biarpun berkonsepkan balada, setiap lagu dalam Kali Pertama mempunyai muzik tersendiri.
"Saya tidak boleh namakan satu pun lagu yang menjadi kegemaran kerana semua lagu dalam album ini punyai pelbagai rasa dan ia begitu istimewa buat saya.
"Ikut perancangan awal konsepnya bukan seperti yang terhasil. Banyak pertukaran dilakukan untuk menyesuaikan konsep album itu dengan karakter saya," beritahu Asmidar yang menunggu sehingga 12 tahun untuk memiliki album pertama.
Lambat atau cepat, itu semua bukan lagi satu persoalan buat dirinya. Pahit-manis menempuh pancaroba selama mahu menempa nama dalam industri sudah cukup menjadi azimat buat Asmidar. Semangat dan fokusnya hanya untuk karier, biarpun ia baru bermula pada usia 27 tahun.

No comments:

Post a Comment