Tuesday 19 March 2013

Keunikan konsep 1Malaysia patut dicontohi - Duta Uzbekistan


KUALA LUMPUR 19 Mac - Konsep 1Malaysia merupakan satu wawasan unik, yang mencerminkan kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang terdapat di Malaysia, kata Duta Uzbekistan ke Malaysia Shukor Sabitov.
Beliau berkata, selain memupuk perpaduan, konsep itu berjaya menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Apabila saya bertemu orang daripada pelbagai kaum di mana jua dan bertanya tentang bangsa mereka, jawapan yang diberi ialah "saya rakyat Malaysia".
"Ini menunjukkan bahawa konsep 1Malaysia diterima umum dan suatu idea yang bersifat terangkum serta meliputi semua masyarakat di negara ini," kata duta itu kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Sabitov, 49, berkata, pencapaian belia Malaysia pada kejohanan sukan di peringkat serantau dan antarabangsa tahun lepas juga menjadi bukti jelas tentang kejayaan besar konsep itu.
Katanya, konsep yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiga tahun lepas itu merupakan satu contoh baik, yang patut dikaji dan diamalkan negara lain, termasuk Uzbekistan.
"Uzbekistan juga mempunyai rakyat terdiri daripada beberapa kumpulan etnik.
Memandangkan terdapat lebih 130 etnik di negara kami, konsep 1Malaysia merupakan satu model baik yang boleh kami contohi dalam memupuk keharmonian hubungan kaum dan toleransi agama," katanya.
Mengenai hubungan dua hala, Sabitov berkata, ia akan terus berkembang dan sejak terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia-Uzbekistan pada 1992, kedua-dua negara turut menjalin kerjasama melalui rangka kerja serantau dan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.
Katanya, Uzbekistan ingin menarik pelancong di seluruh dunia, termasuk Malaysia, dan sejajar dengan itu, kedutaan negaranya di sini mengadakan beberapa siri jerayawara untuk memperkenalkan Uzbekistan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura dan Thailand.
Melalui siri jerayawara itu, agensi pelancongan dari Uzbekistan menawarkan pakej penerbangan dan penginapan menarik serta berusaha untuk menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan, katanya.
"Semoga lebih ramai rakyat Asia, terutama umat Islam dari Malaysia, akan datang memandangkan Uzbekistan mempunyai beberapa tempat berkaitan tamadun Islam, di samping banyak tempat bersejarah di bandar-bandar utama seperti Samarkand dan Bukhara," katanya.
Tahun lepas, 2,035 rakyat Malaysia mengunjungi Uzbekistan, manakala kira-kira 11,000 rakyat Uzbekistan melawat Malaysia bagi tujuan melancong dan atas urusan perniagaan. Seramai 600 rakyat negara itu pula menuntut di Malaysia.
Sabitov juga menceritakan tentang 'Navruz', perayaan yang disambut pada 21 Mac setiap tahun di negara itu.
Katanya, Navruz, yang diisytihar sebagai cuti umum di negara itu, merupakan antara perayaan "paling meriah dan amat bermakna bagi rakyat Uzbekistan kebelakangan ini".
Beliau berkata, hari pertama tahun baharu dalam kalendar Uzbekistan itu disambut di semua bandar serta kampung dan kedutaan Uzbekistan di Malaysia akan mengadakan majlis sambutannya Jumaat ini.
Beberapa negara lain yang turut menyambut Navrus ialah Tajikistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment