Monday 18 March 2013

Kita kalah bermaruah


Penjaga gol Malaysia, S. Kumar terpaksa merebahkan badan untuk menghalang asakan penyerang Australia, Daniel Beale (kiri) pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam tadi. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
IPOH - Australia muncul juara kali ketujuh Piala Sultan Azlan Shah edisi Ke-22 setelah mengalahkan Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir di sini, semalam.
Australia merupakan juara pada tahun 1983, 1996, 2004, 2005, 2007 dan 2011.
Sebaliknya, hasrat Malaysia menjuarai piala tersebut tidak kesampaian seperti mana yang berlaku pada tahun 1985, 2007 dan 2009 apabila akur selaku naib juara.
Keazaman para pemain Malaysia untuk mencatat sejarah kejohanan yang bermula pada tahun 1983 terserlah apabila mempamerkan persembahan mantap sejak awal permainan.
Malaysia mengambil masa empat minit sahaja untuk mendapat gol pertama hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faisal Saari menewaskan penjaga gol Australia, Andrew Charter.
Gol awal tersebut membuatkan Australia yang menduduki ranking kedua Persekutuan Hoki Dunia (FIH) bingkas semula melakukan serangan demi serangan ke kubu Malaysia.
Pertahanan Malaysia yang dibarisi oleh Azlan Misron, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin dan Baljit Singh terpaksa bekerja keras mengekang kemaraan jentera serangan Kookaburras.
Kecekapan penjaga gol negara, S. Kumar berjaya menidakkan harapan Kookaburras untuk menyamakan kedudukan melalui rembatan kencang Daneil Beale pada minit ke-11.
Lebih 15,000 penyokong tempatan yang memenuhi setiap ruang Stadium Azlan Shah telah memberi sokongan padu kepada para pemain Malaysia untuk menambahkan jaringan.
Kejohanan edisi ke-22 itu melakar sejarah apabila lebih 3,000 penonton tidak boleh masuk ke dalam stadium dan terpaksa menyaksikan perlawanan akhir di layar besar yang dipasang luar stadium tersebut.
Australia menyamakan kedudukan melalui pukulan deras sudut penalti yang dilakukan oleh Nicholas Budgeon pada minit ke-29.
Pasukan kedua terbaik di dunia itu membolos pintu gol Malaysia bagi kali kedua melalui tolakan mudah oleh Craig Boyne pada minit ke-30.
Pada awal separuh masa kedua, Malaysia mendapat dua pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan 40 tetapi gagal disempurnakan bagi gol penyamaan.
Malaysia menyamakan kedudukan hasil tolakan oleh Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil pada minit ke-49 setelah menerima hantaran silang daripada Muhammad Marhan Mohd Jalil.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan semakin rancak bagi mendapatkan gol kemenangan yang mana mendebarkan para penyokong tempatan.
Kira-kira enam saat perlawanan akan ditamatkan, Trent Milton menolak masuk bola ke dalam gawang Malaysia bagi memastikan Australia muncul juara bagi kali ketujuh.
Sebelum ini, Malaysia dan Australia sudah bertarung pada peringkat awal yang mana kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang dan berkesudahan seri 1 - 1.
Sementara itu, Korea Selatan terpaksa berhempas pulas untuk menjinakkan New Zealand 2-1 bagi menduduki tangga ketiga.
India pula menduduki tangga kelima selepas menumpaskan Pakistan 4-2.

No comments:

Post a Comment