Wednesday 20 March 2013

Kos pembinaan terowong terlalu mahal jadi persoalan


PULAU PINANG 20 Mac - Projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilon yang mahu dilaksanakan kerajaan DAP Pulau Pinang terus mencetuskan pelbagai persoalan membabitkan kos.
Terbaharu, Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, H'ng Khoon Leng mempersoalkan kos sebanyak RM586 juta untuk membina lebuh raya dari Tanjung Bungah ke Batu Feringghi yang terkandung dalam pakej projek mega berkenaan.
"Jumlah itu didapati 300 peratus lebih mahal jika dibandingkan dengan projek jalan Teluk Bahang ke Kampung Genting di Balik Pulau yang dibina kerajaan Persekutuan dan telah dirasmikan baru-baru ini.
"Kos melebihi RM500 juta itu terlalu mahal kerana kerajaan negeri hanya membina sebahagian sahaja, manakala selebihnya dilaksanakan pemaju," katanya dalam sidang akhbar di pejabat BN negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin.
Sehubungan itu, Khoon Leng mempersoalkan perkara tersebut dan menuntut kerajaan DAP Pulau Pinang memperincikan perbelanjaan berkenaan.
Sebelum ini, pakej projek itu termasuk terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer (km) dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan pintas sepanjang 4.6km dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Air Itam mengundang bantahan pelbagai pihak yang bimbang implikasi buruk.
Dalam hal membabitkan perbelanjaan, Khoon Leng berkata, kerajaan Pusat yang mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan pelbagai projek seumpama itu hanya membelanjakan RM42 juta untuk projek jalan Teluk Bahang ke Balik Pulau.
"Kita belanja lebih murah untuk laksanakan projek itu walaupun proses pembinaannya rumit kerana melibatkan kawasan bukit yang mempunyai kecerunan tinggi dan selekoh berbahaya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment