Sunday 24 March 2013

Malaysia cemas sebelum ikat Indonesia


KUALA LUMPUR - Selepas nyaris dikejutkan oleh Thailand kelmarin, Malaysia sekali lagi cemas ketika berdepan Indonesia apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat tuan rumah 2-2 pada pusingan awal badminton Piala Axiata di Surabaya, semalam.
Skrip perlawanan tidak ubah seperti ketika seri 2-2 dengan Thailand, apabila kita melepaskan dua mata dalam perseorangan wanita dan lelaki, sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi beregu campuran dan lelaki.
Tee Jing Yi yang menggalas cabaran perseorangan wanita gagal mengutip mata pertama apabila tunduk 10-21, 18-21 kepada Bellaetrix Manuputty. Tindakan Malaysia merehatkan Liew Daren dan menurunkan Chong Wei Fei juga tidak banyak membantu apabila pemain kelahiran Kedah itu kalah mudah 16-21, 11-21 kepada Tommy Sugiarto.
Skuad negara sekali lagi memerlukan bantuan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk memberi tekanan kepada lawan, dan beregu No. 5 dunia itu dipaksa berhempas pulas menewaskan Muhammad Rijal-Debby Susanto 18-21, 21-16, 21-18.
Pasangan No. 2 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga tidak menerima laluan mudah ketika meraih mata penyamaan, menundukkan Hendra Setiawan-Ryan Saputro 21-12, 26-24.
Indonesia kini mendahului saingan, diikuti Malaysia.
Namun, nasib pasukan negara untuk mencari tiket separuh akhir kejohanan AS$1 juta (RM3.11 juta) itu hanya akan diketahui selepas mengharungi empat lagi perlawanan pusingan awal menentang Eropah hari ini, diikuti tiga perlawanan di Kuala Lumpur, iaitu bertemu Singapura (29 Mac), Vietnam (30 Mac) dan Asia pada 31 Mac.

No comments:

Post a Comment