Friday 22 March 2013

Malaysia hos Siri Super Istaf



AHMAD (kanan) bersama Halim ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpu semalam.


MALAYSIA diberikan penghormatan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) untuk menjadi tuan rumah bagi aksi pembukaan dan penutup Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf 2013 yang akan membuka tirainya pada Mei depan.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, walaupun hanya tinggal lagi dua bulan tetapi badan induk sukan sepak takraw negara bersedia menerima tawaran Istaf agar kejohanan yang telah disusun dengan baik itu tidak akan terjejas sejak daripada awal penganjurannya.
“Yang pertama bagi PSM, kami berasa bangga kerana Istaf memberi penghormatan kepada Malaysia untuk kejohanan pembukaan dan penutup Siri Super 2013.
“Sebenarnya kami menerima kerana masa penganjuran kejohanan semakin singkat, Vietnam secara tiba-tiba menarik diri atas alasan yang tidak dapat dielakkan.
“Jadi, kami tidak mahu Siri Super yang telah diatur ‘cantik’, tiba-tiba menghadapi masalah pada peringkat awal. Sebagai negara yang memulakan sepak takraw, saya rasa kami perlu memberi sokongan sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar Bengkel Siri Super Istaf 2013 di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader dan Pengarah Urusan UFA Sports Asia, Jeff Chue.
Terdahulu, Siri Super Istaf pertama telah dijadualkan berlangsung di Vietnam, namun disebabkan negara itu menarik diri, jadi tawaran tersebut terus diberikan kepada PSM yang merancang untuk menganjurkannya di Negeri Sembilan pada 16 hingga 19 Mei depan.
Siri kedua akan mengikuti jadual seperti biasa iaitu di Thailand (26-29 Jun), diikuti India (27 Ogos-1 September) sebelum kembali semula di Sabah pada 31 Oktober hingga 3 November depan.
Biarpun sedar kesukaran yang bakal dihadapi PSM untuk menerima tawaran tersebut, namun Ahmad mengakui, beliau lebih risau dengan pencapaian skuad negara yang akan beraksi sepanjang kejohanan tersebut.
“Memang satu tanggungjawab yang berat tetapi saya rasa kepakaran yang dimiliki untuk menjadi penganjur sudah cukup dan kejohanan ini akan berjalan dengan lancar.
“Begitupun, bagi rakyat Malaysia, saya rasa peluang menjadi tuan rumah Siri Super sahaja tidak mencukupi kerana mereka mengharapkan satu kejayaan daripada skuad negara yang telah dinantikan sejak sekian lama, maka ini yang membebankan sedikit.
“Namun, kami di peringkat PSM akan berusaha keras untuk mengadakan program-program latihan bagi persiapan menghadapi Siri Super Istaf dan kebetulan tahun ini ada Sukan SEA.
“Antara program pada bulan April ini ialah pemain-pemain kita akan berlatih di luar negara, dan buat pertama kali sembilan pemain negara akan bergandingan dengan pemain-pemain Thailand bagi menyertai liga di Thailand,” katanya.
Sementara itu, Halim berkata, kepercayaannya terhadap kepimpinan PSM telah memberi keyakinan kepadanya untuk untuk menawarkan aksi pembukaan kejohanan tersebut diadakan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment