Saturday 16 March 2013

Misi hidup mati


PEMAIN-PEMAIN negara berdepan tugas berat untuk mencatat kemenangan ke atas India kerana mempunyai rekod pertemuan yang kurang memberangsangkan.


SEKIRANYA New Zealand menewaskan Australia hari ini, skuad negara pula wajib menundukkan India jika berhasrat mara ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2013 pada 17 Mac ini.
Demikian jelas penolong jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj yang berharap Malaysia dapat melangkah ke final buat kali keempat sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983.
Menurut Arul, keputusan antara pendahulu carta, Australia dan penghuni tangga ketiga, New Zealand juga akan mempengaruhi strategi yang bakal digunakan ketika turun beraksi di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam ini.
“Australia dan New Zealand akan menjadi penentu terhadap peluang skuad negara untuk mara ke final, tetapi kami juga mahu mengekalkan rekod cemerlang yang dicatat setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Malaysia tampil dengan aksi memberangsangkan sejak kejohanan ini membuka tirai pada 9 Mac lepas apabila menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi pembukaan.
Kemudian, anak-anak buah Paul Revington itu melakar kejutan menewaskan New Zealand 2-1 pada perlawanan kedua sebelum terikat 1-1 dengan Australia dan 2-2 ketika menentang Pakistan kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Arul turut memberitahu bahawa barisan pemain skuad negara kini berada pada tahap terbaik, dan semua pemain dapat diturunkan pada aksi kelima itu.
“Memang ada pemain yang cedera iaitu Muhammad Razie Abd. Rahim tetapi kecederaan buku lali kanannya itu tidak terlalu serius, dan dia boleh diturunkan pada aksi menentang India nanti.
“Buat masa ini, senarai pemain yang akan beraksi tidak akan berubah, kami akan menurunkan pemain-pemain utama seperti biasa kerana kami tidak mahu kalah,” ujar Arul.
India antara pencabar yang sukar untuk dihadapi skuad negara kerana pasukan itu sering menjadi penghalang kepada Malaysia untuk mara ke final PSAS sebelum ini.
Untuk rekod, Malaysia pernah menewaskan India pada edisi 2010, namun skuad negara gagal mengulangi kemenangan itu pada kempen 2011 dan 2012.
Pasukan kebangsaan juga pernah tewas kepada India pada aksi final PSAS edisi 2009

No comments:

Post a Comment