Sunday 24 March 2013

Nadzmi bersetuju


NADZMI bersetuju untuk menerima pelantikan sebagai Presiden BAC selepas mengadakan perbincangan dengan ahli majlis BAM di Subang Jaya, Selangor semalam.


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh mengumumkan bahawa beliau bersetuju menerima ‘kehendak’ Konfederasi Badminton Asia (BAC) yang membuat kejutan melantiknya sebagai Presiden pada Ahad lepas.
Pengumuman itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan untuk mendapatkan sokongan daripada komuniti BAM pada mesyuarat ahli majlis pertama 2013 badan induk sukan badminton negara itu di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya semalam.
Nadzmi berkata: “Tahun ini, saya tidak akan bertanding sebagai Presiden BAM memandangkan tawaran ini hadir secara tiba-tiba, dan saya juga mempunyai (lebih) banyak masa selepas ini.
“Jadi, saya telah memikirkan perkara ini, dan saya juga berbincang untuk mendapat sokongan serta pandangan daripada ahli majlis BAM serta rakan-rakan dan akhirnya bersetuju menerima tawaran ini.
“Saya akan menghantar jawapan kepada BAC dan saya mungkin akan memegang jawatan ini sehingga berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijangka bersidang pada April 2015.”
Sebelum ini, BAC telah mendapat persetujuan daripada sebilangan besar ahli majlis mereka yang membuat undian tidak percaya sebelum memecat Katsuto Momii sebagai Presiden pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang di diadakan di Bangkok, Thailand 16 Mac lepas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BAC selepas EGM tersebut, Momii gagal menjalankan tugasnya sebagai ketua bagi konfederasi itu, dan ahli majlis sebulat suara melantik Nadzmi secara rasmi menggantikan tempatnya.
Keputusan itu disahkan Naib Presiden BAC, Juniarto Suhandinata yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.
“Sudah tentu, perpaduan menjadi objektif utama saya, seperti yang kita tahu badminton sangat berpengaruh di Asia, malah Asia juga pusat aktiviti ekonomi bagi sukan ini.
“Jadi, sudah tentu saya perlu mengambil tindakan supaya negara-negara ahli BAC akan bersatu supaya kami dapat memartabatkan sukan badminton agar boleh menyerlah dengan lebih baik lagi pada masa akan datang.
“Apabila ahli gabungan bersatu, ia akan memperkuatkan lagi sukan badminton,” kata Nadzmi.
Terdahulu, Nadzmi juga pernah mengumumkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 Mei depan.
Begitupun, ketika diminta mengulas mengenai hasratnya itu, Nadzmi berkata, beliau masih memikirkannya dan memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk membuat keputusan.
“Saya tahu saya akan berdepan dengan tugas yang berat kerana banyak kerja perlu dilakukan untuk mengembalikan perpaduan dalam BAC, maka sudah tentunya ia akan mempengaruhi keputusan saya untuk bertanding merebut jawatan Presiden BWF.
“Jadi, semuanya harus dilihat dan apabila saya bersetuju menjadi Presiden BAC, saya akan berdepan dengan pelbagai soalan mengenainya, kemudian saya harus membuat keputusan. Saya akan membuat pengumuman secepat yang mungkin, mungkin dalam minggu ini,” tambahnya.
Nadzmi telah memegang jawatan Presiden BAM sejak 2000 dan beliau yang pernah menjadi calon pada AGM BAC 2011 telah menarik diri bagi memberi laluan kepada Momii untuk menjawat jawatan tersebut.

No comments:

Post a Comment