Monday 18 March 2013

Nilai estetika Istana Negara



ISTANA Negara yang terletak di Jalan Duta menjadi simbol menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.


Negara baharu yang terletak di lot 54283, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan keluasan 97.7 hektar dirasmikan pada 15 November 2011 secara simbolik dengan istiadat menaikkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Menggabungkan ciri-ciri seni bina Melayu, Islam dan kolonial, ia menjadi lambang kepada pengaruhnya terhadap sejarah Kesultanan Melayu dan Malaysia.
Ciri kemelayuan yang paling jelas dapat dilihat dari jauh ialah kubah sebanyak 22 buah dengan rekaan daun sirih yang ditindihkan. Ia mewakili besarnya peranan istana dalam masyarakat Melayu.
Pada singgahsana yang menjadi tempat Seri Paduka bersemayam pula terukir 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran dengan gaya khat selain banyak lagi ukiran ayat suci di kebanyakan ruang di Istana Negara.
Di bahagian lobi utama pula, para tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter yang bersamaan bangunan 10 tingkat.
Pada bahagian tengah kubah, tergantung sebuah candelier buatan tempatan, malah kesemua lampu jurai mewah itu diperbuat di Malaysia.
Sebanyak dua singgahsana yang terdapat di Istana Negara, Jalan Duta diperbuat daripada kayu jati dari Perlis dan diberikan secara percuma.

TUANKU Syed Sirajuddin (tengah) membelek buku Istana Negara - Lambang Kedaulatan dan Keagungan Raja-Raja Melayu pada pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sebelum ini di Istana Negara lama, pengubahsuaian dalaman istana dilakukan setiap kali YDPA baharu ditabal, tetapi hanya bahagian peribadi diubah di Istana Negara baharu. Ini sekali gus dapat meminimumkan kos selain penggunaan bahan yang kuat, lasak dan tahan lama seperti kayu jati pada singgahsana. Istana yang tersergam indah di atas bukit itu pasti menarik perhatian rakyat untuk melihat secara dekat walaupun hanya dapat bergambar di luar pagar.
Menarik perhatian
Kini, rakyat dapat melihat hiasan dan rekaan dalaman Istana Negara, Jalan Duta melalui buku meja kopi yang mengandungi koleksi gambar-gambar secara dekat.
Buku Istana Negara - Lambang kedaulatan dan keagongan Raja-raja Melayu yang dilancarkan pada awal bulan Januari lalu dan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Istana Negara baharu itu digerakkan oleh baginda sekitar Julai 2002. Proses pembinaan selama tiga tahun bermula sejak tahun 2008.
Baginda turut memantau setiap proses pembinaan bermula dengan aspek rekaan. Tambahan pula, idea menerbitkan buku itu datang daripada Raja Perlis.
“Penerbitan buku ini memberi peluang kepada rakyat yang tidak berpeluang melihat secara dekat kesenian yang terdapat di Istana Negara,” kata Pengarah Penerbitan dan Pengarang, Datuk Md. Nizam Md. Sheriff pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur.

BUKU ini mengandungi koleksi gambar Istana Negara.


Buku tersebut memaparkan rentetan projek tersebut dijalankan daripada tahap rekaan sehingga pembinaan. Setiap perabot, lampu-lampu candelier, lukisan dan ketelitian ukiran dipaparkan dalam buku tersebut.
Selain itu, foto-foto memaparkan para pemimpin negara yang pernah melawat tapak projek tersebut turut disertakan.
Antara yang turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim.

No comments:

Post a Comment