Monday 25 March 2013

PDRM tempatkan satu briged PGA di Esszone


KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan satu briged Pasukan Gerakan Am (PGA) di Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (Esszone) yang terletak di timur Sabah bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di kawasan tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu juga bertujuan memantapkan lagi kekuatan lima batalion pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia ada di sana.
"Kita akan tambah satu briged PGA di Esszone yang melibatkan anggota-anggota di Sabah. Briged ini akan bergabung dengan lima batalion ATM yang berada di sana bagi memperkukuhkan kekuatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyampaian cek dan sumbangan kepada balu dan waris wira negara yang terkorban di Lahad Datu, Sabah sempena Hari Polis ke-206 di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pewujudan Esszone di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.
Beliau berkata, Esszone yang membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau itu berkuat kuasa hari ini.
Menurut Hishammuddin, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu merupakan sesuatu yang bersejarah dan bakal mencorakkan pengurusan PDRM untuk 50 tahun akan datang.
Di majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan RM22,000 kepada setiap seorang balu dan waris wira yang terkorban di Lahad Datu hasil Tabung Amanah Perwira Pertahanan Negara.
Balu dan waris turut menerima cek pampasan insurans Koperasi Polis.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut melancarkan buku jaguh bina badan kebangsaan, Sub Inspektor Sazali Samad yang merupakan Mr. Universe sebanyak lapan kali.
Buku berjudul Sazali Samad: Juara Bina Badan Dunia tersebut merupakan buku biografi yang memaparkan kisah pembabitan Sazali dalam sukan itu. -

No comments:

Post a Comment