Thursday 14 March 2013

Pemain Malaysia bagus - Tatshuhito


SUBANG - Jika ada antara rakyat negara ini merasakan pemain bola sepak Malaysia kurang berkemampuan untuk bermain di luar negara, kata-kata daripada pengurus besar daripada Ryukyu FC, Kaneko Tatshuhito (gambar) pasti memberikan satu harapan baharu kepada masa depan sukan nombor satu itu di negara ini.
Berdasarkan pengamatan Tatshuhito, pemain Malaysia mempunyai kemampuan untuk bermain di Liga Jepun (J-League) tetapi dia berasa hairan mengapa selama ini masih belum ada sesiapa berpeluang beraksi di sana.
Sama ada bermula dari Divisyen Satu hingga Divisyen Tiga, pemain Malaysia sepatutnya diberikan peluang dan dalam soal itu, Tatshuhito berasakan mereka cukup bertuah kerana menjadi perintis pertama membawa dua pemain negara ke sana.
''Melalui pemerhatian saya pada perlawanan antara Jepun dan Malaysia dalam perlawanan kelayakan Olimpik, saya terkejut negara ini sebenarnya mempunyai ramai pemain yang cukup bagus
''Anda (Malaysia) mempunyai banyak pemain berbakat dan sepatutnya kebanyakan daripada mereka ini boleh bermain di J-League tetapi saya hairan mereka tidak meraih peluang berkenaan.
''Jadi, saya rasa Ryukyu cukup bertuah kerana berpeluang mengambil mereka ke sana dan terus terang saya perkatakan, peluang pemain negara ini ke sana cukup cerah," katanya yang ditemui selepas makan malam pasukan Bawah 23 tahun.
Ditanya apakah kelebihan yang nampak kepada pemain Malaysia, dia berkata, kebanyakan mereka mempunyai kelebihan daripada segi fizikal dan stamina.
''Pemain dari negara ini mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat tertinggi kerana daripada pemerhatian saya, mereka ada kekuatan dari aspek fizikal dan sanggup bekerja kera di atas padang.
''Jadi, saya tidak hairan jika lebih ramai pemain dari negara ini mampu melangkah lebih jauh pada masa akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment