Friday 15 March 2013

Penganalisis politik ramal Parlimen dibubar bulan ini



KUALA LUMPUR - Kebanyakan penganalisis politik melihat tanda-tanda untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir dengan Parlimen dijangka dibubarkan menjelang akhir bulan ini.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Noor Sulastry Yurni Ahmad, tarikh paling sesuai ialah pada 26 Mac iaitu sehari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terbubar secara automatik.
"Ramai pengkaji politik turut mengatakan perkara yang sama. Jika pilihan raya ditangguhkan lebih lama, ia boleh memberi kesan dari segi peratusan pengundian selain pelbagai isu yang mungkin dibangkitkan pembangkang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Perlembagaan, Pilihan Raya Umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.
Noor Sulastry berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan membubarkan Parlimen apabila Barisan Nasional (BN) sudah bersedia dengan manifesto dan senarai calon.
"Saya percaya ramai yang bersiap sedia untuk berita pembubaran Parlimen selepas sekian lama menunggu," ujarnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Atory Hussein pula meramalkan Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh seminggu akan datang.
"Saya berpendapat tarikh pilihan raya umum yang sesuai ialah pada 30 atau 31 Mac ini.
"Jadi berita pembubaran Parlimen ini mungkin berlaku dalam masa beberapa hari lagi," ujarnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Samsul Adabi Mamat menyifatkan Malaysia kini memasuki fasa akhir sebelum Parlimen dibubarkan.
"Pada pandangan saya, selagi barisan calon tidak diputuskan, tanda-tanda pembubaran Parlimen masih belum nampak.
"Isu senarai calon ini akan jadi petunjuk kepada bila pilihan raya diadakan," katanya.


No comments:

Post a Comment