Thursday 28 March 2013

Pengarah Star Wars mahu buat filem di Malaysia


KUALA LUMPUR 28 Mac - Pengarah filem Star Wars yang terkenal di seluruh dunia, Roger Christian menyatakan hasratnya untuk membuat sebuah lagi filem di Malaysia dengan menggunakan peralatan filem tempatan.
Menurut Christian yang sudah dua bulan berada di Malaysia, banyak lokasi menarik yang terdapat di negara ini yang membuatnya tertarik untuk membuat filem di sini.
"Judul filem yang akan menjalani pengambaran di sini ialah Temple Of The Undead tetapi kami masih menunggu skrip filem itu siap dahulu.
"Kami dalam proses untuk menyiapkan skrip itu dahulu dan bila ia sudah siap, baru kami akan pilih lokasi, peralatan penggambaran yang akan digunakan serta pemilihan pelakon sama ada tempatan atau antarabangsa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Christian melawat studio di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Yang turut hadir ialah Pengerusi Finas, Datuk Afendi Hamdan.
Lawatan Christian itu dilihat amat baik untuk memperkenalkan kemudahan teknologi di Studio Digital Mixstage di Finas supaya dapat menarik lebih ramai produser dan pembikin filem luar negara membuat filem di negara ini.
Mengulas mengenai filem itu, Christian berkata, ia adalah sebuah filem bergenre seram.
"Pemilihan genre dan jalan cerita sebenarnya adalah kunci untuk menarik penonton melihat filem yang ditayangkan di pawagam.
"Filem dengan genre seram sebenarnya mendapat sambutan yang baik di kalangan remaja dan ia mampu menaikkan lagi industri filem tanah air ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Tambah Christian, filem terbarunya itu mungkin akan mengambil masa setahun untuk disiapkan sebelum ditayang kepada penonton.

No comments:

Post a Comment