Wednesday 27 March 2013

Pengkhianat negara diburu



PASUKAN keselamatan negara melakukan rondaan sekitar Kampung Tanduo, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU – Polis mengesan beberapa individu di Semporna dan Sandakan yang menjadi pengkhianat negara dengan menyalurkan wang sebagai dana untuk membiayai kumpulan pengganas Sulu di Pulau Jolo, Selatan Filipina.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan tersebut sememangnya tidak bertanggungjawab kerana dipercayai bertujuan untuk membantu dan memperkembangkan aktiviti kumpulan pengganas.
Ekoran itu tegas beliau, pasukan keselamatan kini memantau rapi perbuatan individu terbabit yang mengkhianati negara dan tangkapan akan dilakukan apabila tiba masanya.
“Perbuatan menghantar duit ke Pulau Jolo untuk membantu kumpulan pengganas adalah kesalahan yang amat berat dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori.
“Tidak kira sama ada jumlahnya kecil atau besar, kita tahu bahawa wang tersebut dihantar bagi membantu musuh dan tindakan itu merupakan pengkhianatan kepada negara,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini semalam.

No comments:

Post a Comment