Monday 25 March 2013

Pengwujudan Esszone jamin keselamatan, baik untuk Sabah - MCPF


KUALA LUMPUR 25 Mac - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mahu rakyat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (Esszone) di Sabah.
Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penubuhan zon itu dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri tersebut daripada ancaman luar.
"Esszone mampu mengembalikan keyakinan rakyat khususnya di Sabah terhadap usaha dan tekad kerajaan yang begitu komited dalam mengutamakan soal keselamatan rakyat.
"Selain itu, Esszone dapat membendung aktiviti pencerobohan seperti yang berlaku di Lahad Datu daripada terus berulang pada masa hadapan di samping meningkatkan keyakinan pelabur dan pemaju untuk menjalankan aktiviti ekonomi di Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Lam Thye, kehidupan rakyat di sana juga dijangka kembali normal dan bebas melakukan aktiviti harian bagi menjana kelangsungan ekonomi keluarga.
Beliau juga memuji usaha baik kerajaan menjaga keharmonian rakyat menerusi skim penempatan semula penduduk di beberapa kampung yang terjejas ekoran ancaman pengganas Kiram baru-baru ini.
"Usaha ini merupakan tindakan konkrit kerajaan dalam menjaga keselamatan dan mencegah kemasukan pendatang asing melalui negeri itu pada masa akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment