Friday 15 March 2013

Piya tekad pikat hati Rajagobal




PIYA (tiga dari kanan) menjalani sesi latihan pertama bersama Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.


KERINDUAN peminat fanatik bola sepak tempatan untuk menyaksikan kelibat kapten Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersama skuad Harimau Malaya bakal terubat.
Badhri yang lebih dikenali sebagai Piya membuat penampilan sulung bersama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal pada sesi latihan Harimau Malaya di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Piya yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi persahabatan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 17 Mac ini dijangka memperkuatkan skuad Rajagobal pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen di stadium yang sama lima hari kemudian.
Anak kelahiran Kelantan itu kini mengakui terdesak untuk membantu Harimau Malaya selepas dia pernah menjadi mangsa 'terlepas pandang' dalam skuad kebangsaan meskipun mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad The Red Warriors pada musim lalu.
Untuk rekod, Piya merupakan tonggak utama skuad kendalian Bojan Hodak yang membantu Kelantan merangkul gelaran trebel tahun lalu.
Selain itu, perancang skuad The Red Warriors itu turut meledakkan satu gol ketika menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 3-1 di Stadium Thuwunna Yangon pada saingan Kumpulan G kempen Piala AFC kelmarin.
Piya berkata, dia berazam untuk mengulangi prestasi cemerlang ketika bersama skuad Harimau Malaya dalam usaha memburu slot automatik ke pentas Piala Asia 2015 di Australia.
"Bagi saya sendiri, ia merupakan suatu kebanggaan apabila beraksi bersama skuad kebangsaan untuk pertama kalinya.
"Bagaimanapun, ia bukan satu tugas yang mudah dan saya harus memberikan aksi terbaik selain memikat perhatian jurulatih (Rajagobal).
"Mengenai peluang (untuk beraksi dalam kesebelasan utama), saya harus memberikan aksi lebih baik berbanding sebelum ini.
"Ini kerana, saya masih belum berpuas hati dengan tahap keupayaan saya. Saya mahu fokus satu demi satu perlawanan dan pengalaman bersama pasukan negeri (Kelantan) diharap akan membantu saya.
"Keputusan (berada dalam kesebelasan utama) bergantung kepada jurulatih. Pada pendapat saya, pemain yang terbaik bakal terpilih dan saya telah bersedia," katanya.
Pada perkembangan lain, ranking Harimau Malaya jatuh lima anak tangga apabila menghuni tangga ke-164 dengan mengumpul 129 mata setelah senarai kedudukan itu dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.
Ia merupakan ranking terburuk dan pencapaian terbaik skuad negara adalah berada di tangga ke- 138 pada Mac 2011.

No comments:

Post a Comment