Saturday 23 March 2013

Raikkonen teruskan kejutan


Mekanik pasukan Lotus menyiapkan jentera Kimi Raikkonen untuk sesi latihan bebas kedua GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
SEPANG - Juara Grand Prix Australia, pelumba Lotus Kimi Raikkonen meneruskan kejutan di awal musim apabila melakar masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua Grand Prix Formula Satu Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Pelumba Finland itu mencatat masa 1 minit 36.569 saat, mengatasi juara dunia tiga kali, Sebastian Vettel dari Red Bull tempat kedua (1:36.588s) pada sesi latihan yang berlangsung dalam cuaca panas sebelum hujan pada hujung saingan.
Catatan juara dunia 2007 itu lebih baik berbanding rakan sepasukan Vettel, Mark Webber yang melakar masa terpantas pada sesi latihan pertama di sebelah pagi iaitu 1:36.935s.
Pada sesi pertama, Raikkonen yang melakukan kemunculan semula selepas dua tahun bersara, hanya ketinggalan 0.068s di belakang Webber untuk menduduki tempat kedua.
Raikkonen berkata, pasukannya cuba melakukan beberapa perubahan pada jentera dan ternyata usaha itu berjaya.
"Kami juga menguji jentera semasa litar basah yang mana keadaan ini merupakan perkara yang biasa berlaku di sini, jentera kami berfungsi dengan baik.
"Kami menguji jentera sepenuhnya dan saya tidak tahu pula bagaimana saingan yang bakal diterima pada sesi kelayakan nanti, tetapi saya gembira dengan tahap di mana kami berada sekarang."
Berada pada tempat ketiga pada sesi latihan kedua ialah pemandu Ferrari, Felipe Massa (1:36.661s), sementara rakan sepasukannya, Fernando Alonso menghuni tempat keempat (1:36.985s).
Dua pemandu Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg dan Lewis Hamilton masing-masing menamatkan sesi latihan sebelah petang pada kedudukan ketujuh (1:37.448s) dan kesembilan (1:37.574s).
Seorang lagi pemandu Lotus, Romain Grosjean keenam (1:37.206S), manakala dua pelumba McLaren, Sergio Perez dan Jenson Button masing-masing pada kedudukan ke-11 serta ke-12

No comments:

Post a Comment