Wednesday 20 March 2013

'Sabah selamanya milik kita'


KUALA LUMPUR 19 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Sabah selama-lamanya merupakan sebahagian daripada Malaysia dan rakyat Sabah ialah warganegara Malaysia.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan.
''Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini," katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 di Angkasapuri di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Najib menambah, insiden keganasan di Lahad Datu, Sabah menjadi semboyan peringatan bahawa soal keselamatan tidak boleh diambil mudah sama sekali.
Beliau memberitahu, keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kewaspadaan negara.
''Tragedi ini telah mengorbankan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis Diraja Malaysia dan mutakhir, dua anggota tentera iaitu Koperal Ahmad Hurairah Ismail dari Pasir Mas, Kelantan dan Koperal Ahmad Farhan dari Kota Bharu.
''Kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan pahlawan-pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini," ujarnya.
Menurut Najib, pengorbanan wira-wira negara itu bukan sia-sia, bukan kecil dan bukan untuk diperlekehkan.
Beliau mengingatkan pihak-pihak yang cuba memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan agar belajar mengenang budi dan semua rakyat Malaysia sewajarnya berterima kasih di atas jasa dan bakti mereka yang berjuang demi tanah air tercinta.
''Kenangilah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja bapanya.
''Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan tersebut," katanya.
Najib menjelaskan, kejayaan yang dicapai negara hari ini tidak mungkin tercipta tanpa keselamatan dan kestabilan yang dihasilkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment