Monday 11 March 2013

Skuad Harimau Malaya perlu tampil lebih mantap



Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak Reduan Abdullah mengharapkan ada perubahan bakal ditampilkan Harimau Malaya apabila kembali menyambung misi melayakkan pasukan ke pusingan akhir Piala Asia 2015 menentang Yemen dalam tempoh kurang dua minggu lagi.
Katanya, skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu tidak harus mengamalkan corak permainan yang sama ketika tewas 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pertama awal bulan lalu.

“Pemain negara perlu mengamalkan corak menyerang kerana kemenangan perlu dicari kali ini dengan tiga mata adalah penting terutamanya apabila beraksi di tempat sendiri. Ketika perlawanan itu (menentang Qatar) saya melihat hanya tiga atau empat kali kita melakukan serangan dalam tempoh 90 minit perlawanan, sesuatu yang harus diperbetulkan selepas ini,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Jelasnya kehadiran perancang Kelantan, Mohd Badhri Radzi buat kali pertama mungkin akan mengubah pasukan untuk menentang Yemen kali ini kerana pemain terbabit sudah membuktikan kemampuannya dalam kancah tempatan.

“Jurulatih (Rajagobal) kini mempunyai banyak pilihan di barisan tengah. Mungkin beliau boleh menggandingkan Badhri dengan Shakir (Shaari) yang menjadi tunjang kejayaan Kelantan selama ini. Jika terdapat pemain yang tidak berada dalam prestasi yang baik, dia perlu direhatkan,” katanya.

Badhri yang dikenali sebagai Piya, dipanggil buat kali pertama untuk latihan skuad kebangsaan selepas tidak mendapat perhatian selama ini namun pernah sekali menyarung jersi negara ketika bersama-sama skuad kendalian Ong Kim Swee menentang Chelsea pada 2011.
“Saya berharap Piya akan bersedia untuk beraksi buat negara kali ini selain pemain yang tersenarai kali ini diharapkan mampu mempamerkan persembahan lebih baik berbanding yang beraksi di Qatar tempoh hari,” katanya.

Skuad negara seramai 28 pemain dijadualkan melaporkan diri untuk latihan skuad kebangsaan hari ini dengan pemain Selangor dan Kelantan akan mendaftar lewat beberapa hari kerana terbabit dengan saingan Piala AFC yang berlangsung pertengahan minggu ini.
Bekas juara Piala AFF 2010 itu dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan kelas A menentang Arab Saudi pada 17 Mac sebelum turun menentang Yemen diikuti aksi menentang Palestin pada 26 Mac.

Skuad negara kini menghuni tangga tercorot Kumpulan D di belakang Qatar dan Bahrain yang mengumpul tiga mata selepas masing-masing mencatatkan kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama.

No comments:

Post a Comment