Saturday 16 March 2013

Topeng semangat nenek moyang


PELBAGAI jenis bentuk dan saiz topeng Mah Meri yang diukir mengikut rupa nenek moyang mereka dipamerkan di Pameran Topeng Sedunia di Muzium Negara baru-baru ini.


RUTIN harian Kemi Khamis, 41, tampak serupa dengan kebanyakan masyarakat suku kaum Orang Asli Mah Meri yang tinggal di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor,
Aktiviti turun ke laut pada setiap awal pagi untuk menangkap ikan dan mencari ketam nipah di hutan paya bakau merupakan sumber mata pencarian utama masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kampung Sungai Bumbun iaitu salah sebuah kampung di pulau itu.
Walaupun melalui rutin harian yang sama pada setiap hari, bagi Kemi, dia amat menyukai pekerjaan itu yang diwarisi oleh bapanya.
Namun, mendiang ayahnya tidak hanya meninggalkan pekerjaan sebagai nelayan kepadanya, malah turut mewariskan kemahiran yang menjadi kebanggaan seluruh suku kaum Mah Meri di kampung tersebut iaitu ukiran topeng.
Topeng suku kaum Mah Meri terbahagi kepada dua iaitu topeng perhiasan dan topeng tarian Jo'oh. Mengikut cerita-cerita masyarakat lama, topeng suku kaum Orang Asli itu mempunyai semangat kerana setiap topeng yang dihasilkan itu dihasilkan mengikut gambaran rupa nenek moyang mereka.
Dia mula meminati cara pembuatan dan ukiran topeng nenek moyangnya itu sejak berumur 15 tahun lagi. Dengan berpandukan buku gambaran wajah nenek moyang milik bapanya, Kemi mula mengukir topeng dan patung kecil untuk dijual bagi menambah pendapatan keluarga.
"Ketika itu, saya ingin mengikut jejak langkah bapa kerana tidak mahu warisan pembuatan topeng ini hilang ditelan zaman," ujarnya yang menganggap kebanyakan orang muda di daerah itu kurang minat terhadap tradisi itu.

TOPENG masyarakat Thailand turut dipamerkan di Muzium Negara.


Teknik pembuatan
Menurut Kemi, dia mengagumi serta mendapat tunjuk ajar daripada bapa saudaranya iaitu Pak Pion dalam hal ukiran topeng. Dia dan Pak Pion sering keluar bersama untuk mencari kayu di kawasan paya bakau di Pulau Carey.
Mesin gergaji merupakan peralatan utama yang dibawa oleh mereka untuk mendapatkan kayu yang sesuai bagi ukiran topeng.
"Kayu yang digunakan dalam ukiran topeng Mah Meri ialah nerih batu untuk mengukir topeng perhiasan manakala kayu pulai pula bagi ukiran topeng tarian Jo'oh.
"Pokok nerih batu perlu mencapai ketinggian sembilan meter sebelum ditebang dan dibawa pulang. Selepas pokok ditebang, saya dan Pak Pion akan membelah pokok itu kepada dua bahagian sebelum ia dibawa pulang," ujarnya ketika ditemui di Muzium Negara baru-baru ini.
Pokok nerih batu merupakan pokok yang sesuai untuk dijadikan perhiasan kerana urat pada pokok itu halus dan ia mudah diukir serta akan bertukar daripada warna merah kepada warna gelap setelah topeng siap.
Lakaran topeng nenek moyang yang terdapat dalam buku mendiang bapanya menjadi sumber rujukannya pada awal pembabitannya dalam ukiran topeng.
Antara nama nenek moyang suku kaum Mah Meri yang sering diadaptasi kepada bentuk topeng secara turun temurun ialah Moyang Katak Kala, Moyang Melor, Moyang Hidung Cabang, Moyang Pengkol dan Moyang Bojos.
Pokok nerih batu akan dipotong secara bongkah. Daripada bongkah tersebut, topeng akan diukir mengikut rupa nenek moyang mereka.
Jelas Kemi, setiap topeng mengambil masa selama dua minggu untuk diukir sempurna sebelum ia dijual kepada pelancong asing atau untuk tarian Jo'oh.
"Kebiasaannya jangka masa untuk menyiapkan topeng ini bergantung kepada saiznya. Jika topeng yang bersaiz muka manusia, ia pasti mengambil masa dua minggu. Untuk saiz yang sesuai untuk hiasan meja pula, ia mengambil masa seminggu untuk siap," ujarnya yang pernah mengikuti demonstrasi ukiran topeng suku kaum Mah Meri yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis tahun lalu.

DIAMAN (kiri) memakai topeng moyang Bojos ketika persembahan tarian Jo'oh di Muzium Negara baru-baru ini.


Kepercayaan nenek moyang
Walaupun permintaan untuk topeng perhiasan ukiran suku kaum Mah Meri mendapat permintaan yang tinggi daripada pelancong dalam mahupun luar negara, tetapi tidak ramai suku kaum Orang Asli itu berminat untuk menghasilkan ukiran topeng nenek moyang mereka.
"Adik saya mempunyai kemahiran untuk mengukir topeng dengan baik. Tetapi selepas dia mendapat pekerjaan dalam sektor pembinaan, dia tidak lagi mengukir topeng. Tinggal saya sahaja yang meneruskan legasi tradisi suku kaum kaum," tambah Kemi.
Sementara itu, seorang lagi pengukir topeng suku kaum Orang Asli Mah Meri, Samri Abdul Rahman memberitahu, nasihat orang tua sering menjadi pegangan untuk menghasilkan topeng.
Menurut Samri yang juga sahabat baik kepada Kemi, dia percaya bahawa setiap topeng yang dihasilkan itu mempunyai semangat yang tersendiri dan mengikut keperibadian nenek moyang.
"Topeng yang digunakan untuk tarian Jo'oh tidak boleh dipakai oleh sebarangan orang kerana topeng itu telah ditepung tawar serta di asap dengan kemenyan untuk menyeru roh nenek moyang.
"Mengikut cerita bapa saya, pernah berlaku kejadian roh nenek moyang tidak mahu keluar daripada tubuh penari tarian kerana ada dalam kalangan mereka tidak meminta izin daripada roh untuk membuat persembahan," ujarnya yang mula meminati ukiran topeng setelah melihat gambar topeng watak Knight Rider yang diambil oleh bapa saudaranya di Australia ketika usia remaja.
Tambah Samri, sebelum topeng digunakan dalam tarian Jo'oh, orang dahulu menggunakan upih pinang sebagai penutup muka semasa tarian dalam kenduri atau keramaian menyambut pelancong.
"Melihat kepada penerimaan pelancong terhadap tarian Jo'oh, orang dahulu mendapat idea untuk menghasilkan topeng yang mewakili setiap nenek moyang kami," ujarnya.
Suku kaum Mah Meri mengamalkan kepercayaan animisme iaitu percaya kepada kekuasaan alam semula jadi dan menghormati roh nenek moyang mereka.
Moyang Bojos
Setiap topeng nenek moyang suku kaum Mah Meri mempunyai simbolik dalam setiap ukiran topeng yang telah dihasilkan oleh mereka.
Moyang Bojos merupakan moyang yang sentiasa menjadi kebanggaan suku kaum Mah Meri. Bagi mereka, Bojos merupakan penyelamat hutan suatu ketika dahulu.
Kini, topeng Bojos merupakan kelengkapan rasmi dalam tarian Jo'oh yang kebiasaannya dipersembahkan ketika musim pokok buah-buah berbunga dan sempena majlis kesyukuran atau perkahwinan.
Tarian yang dianggotai oleh 15 orang dengan empat lelaki dan 11 wanita itu diketuai oleh seorang ketua yang memakai topeng serta pakaian ala-ala moyang Bojos.
Ketua penari tarian Jo'oh, Diaman Kisah berkongsi cerita, setiap kali dia melakukan persembahan, dia dapat merasakan roh Bojos meresap ke dalam dirinya.
"Apabila paluan gendang, gong, tuntung buluh serta gesekan biola memainkan alunan muzik Jabos (tarian topeng) serta Pau Kunteng (tarian tangan melambai), saya semakin teruja untuk membuat persembahan yang terbaik di hadapan para penonton.
"Topeng Bojos milik saya tiada pantang larang. Orang ramai boleh memakainya kerana saya tidak mengamalkan amalan tepung tawar dan asap kemenyan pada topeng itu," ujarnya yang juga mempunyai kemahiran dalam ukiran topeng.

1 comment: