Tuesday 12 March 2013

UAE kagum pengalaman Malaysia bangunkan negara


PUTRAJAYA 12 Mac - Emiriah Arab Bersatu (UAE) kagum dengan kekayaan dan keunikan pengalaman Malaysia dalam membangunkan negara ke arah merealisasikan wawasannya untuk mencapai status negara maju.
Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan bertitah, Malaysia melakar kejayaan yang amat besar dalam usahanya itu, suatu hakikat yang diiktiraf di seluruh dunia.
Beliau berkata, UAE berkongsi harapan ke arah masa depan dan iltizam yang padu bersama Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk melakukan pelaburan terbaik dalam sumber manusia.
"Ini meletakkan kedua-dua negara kita pada kedudukan yang dihormati dan membuka laluan bagi pembangunan keseluruhan, menjadikan hubungan antara kedua-dua negara begitu penting," titah Putera Mahkota, sebelum baginda dan Najib menyaksikan majlis memeterai perjanjian di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Terdahulu Jeneral Sheikh Mohammed Zayed, yang juga Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE mengadakan pertemuan empat mata bersama Najib.
Baginda seterusnya merakamkan penghargaan terhadap usaha ikhlas dan peranan konstruktif Najib dalam menyokong serta merangsang kerjasama dua hala, dan menghargai usaha berterusan beliau ke arah memperkukuh hubungan istimewa dengan UAE.
"Pertemuan kami hari ini adalah peluang yang sangat baik untuk berdialog dan bertukar pandangan, dan untuk membincangkan pelbagai topik dua hala dan bidang kerjasama sedia ada. Ini sudah semestinyalah membantu untuk memperkukuh dan memperkembangkan perkongsian ini, terutamanya berikutan pembangunan mengagumkan yang disaksikan UAE dan Malaysia," titah baginda.
Baginda bertitah, pembangunan ini selanjutnya disokong oleh ekonomi yang bebas dan pelbagai, yang berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan berterusan, dan ini meletakkan kedua-dua negara dalam kedudukan penting pada peta ekonomi dunia.
Malaysia dan UAE, titah baginda, percaya dalam menyepadukan peranan kerajaan dan sektor swasta; dengan syarikat persendirian serta pelabur sebagai rakan tulen dalam pembangunan, melaksanakan peranan aktif dan konstruktif dalam memperkukuhkan hubungan dua hala.
Putera Mahkota turut menyuarakan keperluan untuk terus menyuburkan lagi hubungan itu dalam suasana yang selamat, stabil dan iklim pelaburan yang menggalakkan.
"Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan UAE menyambut baik penyertaan perbadanan dan syarikat Malaysia dalam melaksanakan projek pembangunan bersama, dan menggesa perbadanan serta syarikat UAE untuk terus menjalin perkongsian dan pelaburan di Malaysia," titah baginda. -

No comments:

Post a Comment