Tuesday 2 April 2013

Barcelona, PSG membara


PARIS - Atas kertas, skrip berbeza menyelubungi perjalanan antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona pada aksi suku akhir pertama kempen Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Prince awal pagi esok.
Tatkala skuad The Catalan dilihat cukup selesa dengan reputasi antara pasukan terbaik Eropah, kehebatan PSG juga tidak boleh dipandang 'sebelah mata' selepas diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain terkemuka dunia sebaik kelab itu dibeli jutawan Qatar pada 2011.
Hampir keseluruhan pasukan dilihat berwajah baharu dengan kehadiran Thiago Silva dan Zlatan Ibrahimovic yang cukup memberikan impak positif buat PSG.
Namun, ia tidak menggentarkan Barcelona yang pastinya gembira dengan kehadiran semula jurulatih, Tito Vilanova yang sebelum ini menjalani pembedahan bagi membuang tumor di tekak di New York, Amerika Syarikat pada Disember tahun lalu.
Kejayaan mengatasi AC Milan dengan agregat 4-2 selepas ketinggalan 1-2 pada aksi pusingan kalah mati pertama di Stadium San Siro sebelum ini juga dijadikan pembakar semangat buat The Catalan untuk mengecewakan PSG awal pagi esok.
"Kami gembira dengan kehadiran semula Vilanova.
"Cukup penting memiliki jurulatih ketika perjuangan kami pada kempen Liga Juara-Juara belum selesai," kata penyerang berbisa Barcelona, Lionel Messi.
Awal pagi esok, skuad The Catalan dijangka diperkuatkan dengan kehadiran Xavi Hernandez dan Jordi Alba yang kembali menjalani latihan.
Namun, khidmat Pedro Rodriguez terpaksa dilupakan gara-gara penggantungan perlawanan dan dijangka digantikan dengan Cristian Tello yang cemerlang meledak satu gol ketika Barcelona seri 2-2 dengan pasukan bermasalah, Celta Vigo dalam aksi liga domestik minggu lalu.
Dalam pada itu, khabar gembira menyelubungi kem PSG yang kembali mendapat sentuhan Ibrahimovic.
Sebelum ini, Ibrahimovic sepatutnya digantung dua perlawanan selepas dibuang padang ketika aksi pertama pusingan kalah mati berdepan Valencia tempoh hari.
Namun, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) meringankan hukuman tersebut kepada satu perlawanan sahaja, sekali gus membenarkan Ibrahimovic kembali beraksi awal pagi esok.
"Atas kertas, kami dilihat pasukan underdog tetapi ia tidak bermakna kami mengaku kalah sebegitu sahaja.
"Kami gembira beraksi pada suku akhir kempen Liga Juara-Juara berdepan pasukan yang hebat seperti Barcelona," kata jurulatih PSG, Carlo Ancelotti.
- AFP

No comments:

Post a Comment