Tuesday 2 April 2013

Chelsea singkir Man. United


BA (kanan) menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 Chelsea ke atas United di Stamford Bridge malam tadi.


LONDON – Juara bertahan, Chelsea semakin hampir untuk menjulang trofi Piala FA selepas menyingkirkan Manchester United 1-0 pada aksi ulangan suku akhir di Stamford Bridge malam tadi.
Penyerang Senegal, Demba Ba muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan skuad The Blues pada minit ke-49, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir buat kali keenam dalam tempoh lapan musim.
Skuad bimbingan Rafael Benitez itu dijadual bertemu Manchester City pada pusingan separuh akhir di Stadium Wembley 14 April depan.
Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Millwall dan Wigan Athletic yang berlangsung di stadium sama sehari sebelum itu.
Meskipun tidak disenangi segelintir penyokong-penyokong tegar Chelsea, Benitez masih berpeluang untuk menghadiahkan dua piala kepada skuad The Blues musim ini.
Selain layak ke separuh akhir Piala FA, Chelsea turut mara ke suku akhir pada kempen Piala Europa dan mereka akan bertemu kelab Rusia, Rubin Kazan awal pagi Jumaat ini.
“Ia adalah satu kemenangan yang sangat bermakna buat kami. Kami suka beraksi di Stadium Wembley dan kami sangat mengagumi Piala FA. Kami sentiasa mahu memenangi trofi ini.
“Saya sangat berpuas hati selepas berjaya menepis percubaan Javier Hernandez dan bola itu sangat berbahaya. Bagaimanapun, saya berjaya menggunakan tangan kiri untuk menepis bola itu,” kata penjaga gol Chelsea, Petr Cech.
Sementara itu, Ba berkata, dia sangat gembira apabila menjaringkan gol itu dan jaringan tersebut sama seperti yang dilakukannya ketika bersama Newcastle United sebelum ini.
“Jaringan saya hari ini (semalam) sama seperti yang saya lakukan ketika saya mewakili Newcastle (menentang United). Ia telah mengingatkan saya kembali kepada detik itu.
Bagaimanapun, apa yang paling penting adalah kami mencatat kemenangan dan memberikan kami lebih keyakinan,” kata Ba. – Agensi

No comments:

Post a Comment