Wednesday 3 April 2013

FAM bincang isu Rajagobal



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membawa isu ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal (gambar) pada mesyuarat Exco badan induk itu pada 10 April ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak yang turut menjangka surat pertuduhan akan dihantar kepada Rajagobal dalam tempoh terdekat ini.
Taufek memberitahu, kes Rajagobal tersebut menjadi salah satu agenda penting sidang mesyuarat Exco FAM yang bakal dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
Jelasnya, siasatan terhadap Rajagobal tetap diteruskan kerana beliau menganggap surat pertuduhan akan dihantar selepas tindakan susulan daripada pegawai undang-undang kelak.
“Isu Rajagobal akan dibawa ke mesyuarat Exco FAM nanti dan mengenai surat pertuduhan beliau, ia bergantung kepada pegawai undang-undang memutuskan (tempoh) untuk menghantar kepadanya.
“Saya pasti surat pertuduhan itu akan dihantar selewat-lewatnya minggu ini,” katanya semalam.
Terdahulu, Rajagobal bakal disiasat mengikut Artikel 88 Statut FAM selepas didakwa mengkritik saingan Liga Malaysia (Liga M) sejurus skuad negara tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.
Bekas jurulatih Selangor itu didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai lambakan penyerang import antara punca skuad negara tidak memiliki penyerang tempatan berwibawa.
Dalam perkembangan lain, Taufek memberitahu, FAM bakal menanti keputusan penuh daripada pegawai undang-undang berhubung isu kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika perlawanan Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Terengganu pada 30 Mac lalu.
Tunku Ismail yang menjalani hukuman penggantungan selama enam bulan dan didenda RM18,000, berada di bangku simpanan Johor DT ketika menewaskan Terengganu 3-2.
Baginda dijatuhkan hukuman mengikut Artikel 88 Statut FAM atas dua kesalahan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menentang dan menj-a tuhkan kredibiliti badan induk persatuan tersebut pada Februari lalu.
“Saya tidak boleh mendahului pihak pegawai undang-undang sebagaimana pihak kami perlu memastikan (status) kehadiran Tunku Ismail atas kapisiti Presiden PBNJ atau sebagai Tunku Mahkota Johor.
“Jika atas kapasiti sebagai Tunku Mahkota Johor, FAM akan menyerahkan perkara ini kepada pegawai undang-undang bagi menilai situasi sebenar,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, FAM akan menyelesaikan isu tersebut mengikuti prosedur sedia ada.
Azzuddin menjelaskan, beliau berharap mana-mana pihak bersabar sebagaimana FAM akan meneliti isu tersebut dengan lebih baik serta telus.
“FAM akan menjalankan prosedur ini berdasarkan kes-kes sebelum ini. Setiap prosedur memiliki masa tersendiri dan saya berharap mana-mana pihak bersabar kerana FAM akan menjalankan siasatan ini dengan lebih teliti,” katanya.

No comments:

Post a Comment