Sunday 7 April 2013

Jambatan tanpa sungai


Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

VIADUCT Sungai Deka, Terengganu menjadi laluan kepada haiwan-haiwan untuk bergerak ke hutan berhampiran.


KONFLIK manusia dan haiwan tidak pernah surut. Saban hari, pasti ada sahaja haiwan terkorban atas nama pembangunan. Pada Januari 2011, seekor gajah betina mati dilanggar oleh sebuah lori simen ketika mamalia itu cuba melintas Lebuh Raya Timur Barat, dekat Tasik Banding, Grik, Perak.
Itu merupakan kes pertama yang melibatkan gajah dilanggar di jalan raya. Bukan sahaja gajah, kucing batu, musang, tapir dan beruang turut maut di atas jalan raya.
Dalam banyak situasi, sudah tentu haiwan dipersalahkan walaupun hakikatnya jalan-jalan dibina berhampiran kawasan hutan tebal yang merupakan habitat semula jadi sejak bumi ini dicipta Allah.
Bagi menjawab kritikan berterusan daripada para pencinta alam dan ahli akademik, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengusulkan laluan khas haiwan yang dikenali sebagai viaduct.
Menurut Pegawai Hidupan Liar Perhilitan, Wan Shaharuddin Wan Noordin, viaduct mula dibina pada 2006 semasa projek pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Gua Musang-Tasik Kenyir.
“Ini berikutan lokasi di Sungai Deka, Terengganu dikenal pasti sebagai lokasi laluan bagi haiwan-haiwan di ambang kepupusan seperti gajah, tapir dan beruang.
“Viaduct berperanan melindungi haiwan ini daripada memasuki sistem lebuh raya yang akhirnya boleh menyebabkan haiwan dan manusia mati,” cerita Shaharuddin.
Tambahnya, pembinaan laluan ini melibatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Perhilitan.
Wan Shaharudin berpendapat, kadar kemalangan antara haiwan dan kenderaan akan meningkat jika viaduct tidak dibina.
“Haiwan-haiwan liar suka melalui jalan yang sama tetapi mereka tidak faham risiko berjalan di atas lebuh raya.
GAJAH merupakan haiwan yang paling sedikit dilanggar oleh kenderaan di jalan raya.


“Jadi, pembinaan viaduct mengurangkan risiko kecederaan terhadap haiwan yang melintasi kawasan hutan berhampiran jalan raya,” katanya.
Cerita Shaharuddin, pembinaan viaduct pertama ialah di Sungai Deka, Terengganu. Panjang viaduct itu hanya 0.63 kilometer tetapi projek itu menelan belanja sebanyak RM30 juta berikutan kos pembinaan yang mahal.
“Setelah dibina, kes melibatkan kecederaan dan kematian haiwan liar tidak terjadi lagi,” ujarnya.
Laluan khas haiwan ini hanya mengambil masa setahun untuk disiapkan.
Ketua Pusat Santuari Gajah, Terengganu, Ahmad Kamsul Alias turut bersetuju dengan pandangan Shaharuddin.
“Sebelum pembinaan lebuh raya kawasan tersebut merupakan kawasan hutan tebal yang menjadi habitat dan laluan mereka.
“Jadi, kaedah alternatif yang bijak ialah viaduct,” terang Ahmad Kamsul.
Tambahnya, pada peringkat awal pembinaan laluan khas ini, haiwan-haiwan seperti gajah, kijang dan tapir jarang menggunakan laluan ini.
“Untuk menarik haiwan tersebut, pihak Perhilitan menanam pokok-pokok hutan dan rumput untuk membuatkan lokasi itu seperti hutan semula jadi.
Jenut
Katanya, pokok mengkirai dan rumput jenis napier merupakan antara tumbuhan yang ditanam di kawasan laluan ini.
“Tanaman ini merupakan makanan utama gajah dan kijang,” jelasnya.
Ahmad Kamsul memberitahu, selain tanaman pokok, jenut atau lopak garam turut dibuat sebagai penarik untuk haiwan itu. Garam yang digunakan sama seperti digunakan dalam masakan.
“Faktor tarikan ini mendorong haiwan menggunakan laluan ini tanpa perlu menyeberangi jalan raya untuk ke hutan berhampiran,” katanya.
Terdapat lebih 10 jenut dibina untuk tujuan tersebut.
Terang Ahmad Kamsul, pagar elektrik sepanjang 20 kilometer turut dipasang di sepanjang jalan untuk memastikan haiwan liar tidak melintas melalui jalan raya.
“Uniknya, tiada haiwan yang mati terkena renjatan elektrik setakat ini.
“Ini kerana haiwan seakan-akan mengetahui bahaya sekiranya menuju ke pagar elektrik tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, kamera khas turut dipasang bagi merekod pergerakan haiwan-haiwan yang menggunakan laluan ini.
Menara tinjau
Ini berperanan untuk merekod pergerakan haiwan tersebut dan keberkesanan laluan haiwan ini.
Sementara itu, sebuah viaduct masih dalam proses pembinaan, iaitu di Sungai Yu, Merapoh, Pahang.
Pembinaannya dibuat bersama projek pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) untuk Seksyen 3F menghubungkan Kampung Rusa, Merapoh ke Kampung 
VIADUCT Sungai Yu, Merapoh masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Oktober ini.


Sungai Yu, Pahang.
Projek ini dijangka siap pada Oktober tahun ini.
Bagi pengguna Lebuh Raya Merapoh-Gua Musang, pastinya mereka boleh melihat proses pembinaan jalan yang sedang dilakukan di sekitar Sungai Yu.
Menurut Pengurus (Pembinaan) Seksyen 3F, Kamaruddin Hassan, mungkin ramai yang pelik apabila melihat tiang-tiang jambatan yang didirikan walaupun kawasan tersebut tidak mempunyai sungai atau jurang yang dalam.
“Sebenarnya, pihak JKR mengambil kira faktor alam semula jadi apabila merangka sesuatu pembinaan jalan raya.
“Bagi Seksyen 3F, khususnya di kawasan Sungai Yu, kita dapati haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir sering melintas di jalan raya,” jelasnya.
Kata Kamaruddin, hal ini kerana kawasan tersebut di Banjaran Titiwangsa yang kaya dengan khazanah hutan tebal yang belum terusik dengan kerakusan manusia.
“Terdapat tiga jambatan yang dibina khusus untuk viaduct dan panjang keseluruhan jambatan ini ialah 1.9 kilometer.
“Kosnya menelan belanja sebanyak RM62 juta,” ujarnya.
Menurut Kamaruddin, menara tinjau juga akan dibina pada bahagian hujung jambatan bagi membolehkan pengunjung menyaksikan sendiri haiwan-haiwan liar secara dekat.
“Pengguna boleh melihat sendiri haiwan liar yang jarang dijumpai seperti beruang, kancil dan musang yang diancam kepupusan.
“Ini juga sangat baik dari sudut pendidikan dan pengetahuan mengenai hidupan liar,” jelasnya.
Tiada bayaran dikenakan malah pihak JKR juga akan membina tempat meletakkan kenderaan berdekatan menara tersebut.
Dua menara akan dibina iaitu di dua lokasi yang berbeza.
Katanya lagi, viaduct ini merupakan yang terpanjang di Asia T enggara dan antara terpanjang di dunia apabila ia siap kelak.
Laluan khas ini banyak dibina di Kanada, Jerman, Amerika Syarikat dan Belanda.
Sisi uniknya ialah boleh dibina di bahagian atas atau bawah jalan.
Tambahnya, kawasan ini berpotensi menjadi kawasan pelancongan kerana viaduct di samping lokasinya yang terletak berhampiran dengan gua batu kapur dan kawasan rekreasi Sungai Yu


No comments:

Post a Comment