Monday 22 April 2013

Korea Utara nafi terlibat serangan bom di Boston


SEOUL - Korea Utara menolak dakwaan sebuah laman web Amerika Syarikat (AS) bahawa ia mendalangi dua letupan bom di Boston pada minggu lalu.
Rejim Pyonyang itu sebaliknya menyelar laporan tersebut sebagai 'propaganda palsu' dan menegaskan negara itu menolak semua bentuk keganasan.
"Apabila Korea Utara mahu menyerang AS, ia tidak akan melakukan keganasan kejam seperti itu dan secara tersembunyi," menurut laporan berita Korean Central News Agency.
Ia bagi mengulas dakwaan laman web AS, WorldNetDaily yang menyiarkan satu artikel pada Rabu lalu bahawa Korea Utara mungkin terlibat dalam serangan tersebut.
Serangan bom berkembar itu mengorbankan tiga orang dengan 180 yang lain cedera.
Laman web berkenaan turut mendakwa Korea Utara mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas Al-Qaeda.
Al-Qaeda sebelum ini menyiarkan cara-cara membuat bom periuk tekanan di internet yang digunakan dalam letupan dekat garisan penamat Maraton Boston pada 15 April lalu.
Dua beradik etnik Chechen, Dzhokhar Tsarnaev, 19, dan Tamerlan Tsarnaev, 26, dikenal pasti polis AS sebagai suspek yang meletakkan bom tersebut.
Dzhokhar yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan perubatan di sebuah universiti di AS kini dirawat di hospital selepas cedera akibat berbalas tembakan dengan polis di Watertown, Massachusetts pada Jumaat lalu.
Abangnya, Tamerlan mati ditembak dalam satu lagi kejadian berbalas tembakan dengan polis AS. - AFP

No comments:

Post a Comment