Saturday 6 April 2013

United, City sama ghairah


LONDON - Pengendali Manchester United, Alex Ferguson menegaskan bahawa pasukannya tidak sesekali akan membiarkan Manchester City mengambil peluang untuk merapatkan diri dalam pertemuan kedua-dua seteru setempat itu di Old Trafford awal pagi Selasa.
Skuad bimbingan Ferguson kini dalam laluan selesa untuk merampas mahkota Liga Perdana England daripada seteru utama mereka itu musim ini selepas berada 15 mata di hadapan juara bertahan, City ketika perlawanan liga berbaki lapan perlawanan.
Seandainya United mencatat kemenangan ke atas pasukan bimbingan Roberto Mancini itu nanti, pasti perjalanan skuad The Red Devils untuk mendakap gelaran liga kali ke-20 lebih mudah selepas ini, namun Ferguson sedar yang City akan cuba sedaya upaya untuk menangguhkan 'pesta' pasukan jirannya itu.
"Kami masih dalam perjalanan untuk memenangi gelaran liga. Kami masih mempunyai baki lapan perlawanan. Itu bermakna kami masih berpeluang mengumpul 24 mata maksimum dan kami berharap Wayne Rooney akan segera sembuh daripada kecederaan pangkal paha.
"Kami kini berada dalam laluan sebenar untuk mencatat kemenangan dan kami akan berusaha untuk menang dalam setiap perlawanan. Saya juga berharap kami mampu menjulang kejuaraan liga musim ini," jelas Ferguson.
Beliau sedar motivasi dalam kalangan pemain City untuk menewaskan United sangat tinggi, namun menjelaskan bahawa pemain United juga berada dalam situasi yang sama.
Sementara itu, prestasi tidak menentu City musim ini telah membuatkan banyak pihak tidak yakin kemampuan mereka untuk mengekalkan kejuaraan liga.
Bagaimanapun bagi ketua pasukan City, Vincent Kompany, kemenangan ke atas United lebih kepada untuk menutup mulut pengkritik.
"Perlawanan antara dua jiran bukan lagi berkaitan menjuarai liga semata-mata. Perlawanan ini adalah untuk menentukan siapa juara sebenar di Manchester. Itu sahaja," tegas Kompany. - AFP

No comments:

Post a Comment