Tuesday, 30 July 2013

KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA

KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA
 keselamatan di tempat kerja1 
PENDAHULUAN
 1.         Apakah yang bezanya kemalangan ditempat kerja dan kemalangan jalan raya?  Sudah tentu kita semua dapat membezakan kedua-dua jenis kemalangan ini iaitu kemalangan jalan raya adalah kemalangan atau kecelakaan yang terjadi semasa kita berada di jalan raya.  Manakala kemalangan di tempat kerja adalah bencana atau kecelakaan yang berlaku ketika di tempat kerja seperti terjatuh dari tempat tinggi semasa bekerja di tapak pembinaan dan sebagainya.  Tanpa kita sedari sebenarnya kita lebih berisiko untuk mendapat kemalangan di tempat kerja berbanding dengan kemalangan jalan raya.
 2.         Ini kerana tempoh kita berada di tempat kerja lebih lama berbanding di jalan raya (kecuali pemandu).  Umum beranggapan kemalangan di tempat kerja ini hanya melibatkan kerja di kawasan tapak projek pembinaan, perlombongan dan kilang seperti kuari serta yang melibatkan kerja buruh.  Sebenarnya ia merangkumi semua tempat pekerjaan dari kerja di pejabat hinggalah ke ladang seperti pertaniaan, perhutanan, perikanan, pengangkutan, penyimpanan, komunikasi, perkhidmatan (gas, elektrik, air dan kebersihan), perdagangan borong dan runcit, kewangan, hotel, restoran dan banyak lagi.
 keselamatan di tempat kerja2
PUNCA KEMALANGAN
 3.         Pengamalan budaya kerja yang selamat dan sihat memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam organisasi.  Golongan pekerja sering menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak menyediakan peralatan yang selamat manakala pihak pengurusan menyalahkan pekerja tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Jika keadaan ini berterusan dan berlaku kemalangan ia akan merugikan kedua-dua belah pihak.  Kecenderungan utama berlaku kemalangan di tempat kerja boleh dibahagikan kepada beberapa faktor utama iaitu punca asas dan punca langsung.  Punca asas kemalangan boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
 a.Faktor peribadi. Ilmu pengetahuan pekerja tidak mencukupi serta pekerja tersebut tidak mahir dalam mengendalikanSelain itu keadaan motivasi, fizikal dan mental yang lemah boleh mengundah kemalangan ketika melaksanakan kerja.
 b.Faktor pekerjaan. Persekitaran peralatan dan kawasan kerja yang tidak sesuai dan rekabentuk serta rutin senggaraan yang dilakukan juga boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Contohnya jam operasi jentera yang telah melampaui tempoh yang ditetapkan.
 c.Prestasi Penyeliaan. Kegagalan mematuhi prosedur dan arahan yang disampaikan tidak sempurna serta kelengkapan yang disediakan tidak mencukupi dalam melaksanakan sesuatu kerja juga seringMengambil mudah sesuatu prosedur yang telah ditetapkan dan peraturan yang ada tidak dikuatkuasakan.
d.Polisi dan Keputusan Pengurusan. Dalam melaksanakan sesuatu prosedur dan proses kerja pihak pengurusan hendaklah mengkaji dengan lebih mendalam sebelum ia digunapakai, supaya tidak mengundang kemalangan semasa kerja dilaksanakan. 
4.         Punca langsung kemalangan pula lebih menjurus kepada kelakuan tidak selamat pekerja dan keadaan kerja yang tidak selamat.  Kelakuan pekerja yang tidak selamat ini boleh ditafsirkan sebagai melaksanakan kerja dalam keadaan terdedah kepada hazard antaranya tidak menggunakan peralatan yang betul, tidak memakai Personal Protective Equipment (PPE) apabila diperlukan, menggunakan peralatan serta jentera yang tidak atau masih dalam selenggaraan, bergurau semasa kerja dan bekerja dibawah pengaruh dadah atau alkohol.  Bagi bekerja dalam keadaan tidak selamat pula ianya lebih tertumpu kepada keadaan di tempat kerja.  Suasana tempat kerja boleh menyebabkan berlakunya kemalangan seperti bunyi bising yang melampau sehingga menyukarkan perhubungan komunikasi antara pekerja, sistem pengudaraan dan pencahayaan yang tidak sempurna, ruang kerja yang tidak dihadang terutamanya bekerja di tempat tinggi dan persekitaran yang terdedah kepada hazard seperti lubang yang tidak ditutup.
 keselamatan di tempat kerja3 
KESAN DAN AKIBAT KEMALANGAN 
5.         Kita menganggap kemalangan hanya memberi kesan buruk pada fizikal seseorang seperti kecederaan, kecacatan dan kematian.  Sebenarnya banyak kesan negetif dan kerugian yang dialami oleh pekerja dan juga majikan.  Secara amnya kesan seperti teori Bongkah Air dan ia boleh dibahagikan kepada kesan nyata dan kesan tersembunyi. Kesan nyata ini adalah kecederaan atau kematian kepada pekerja dan kerosakan pada peralatan. 
6.         Manakala kesan tersembunyi ini sebenarnya lebih banyak daripada kesan nyata dan menjadi kesan yang tinggi tehadap kos keseluruhan kemalangan yang berlaku. Antara kesan tersembunyi adalah kerugian produktiviti serta kualiti kerja, kos pembersihan kawasan kemalangan, melatih pekerja baru untuk melaksanakan kerja, membaiki peralatan yang rosak semasa kemalangan, kerugian masa dan wang untuk urusan mahkamah serta tenaga kerja untuk urusan penyiasatan kemalangan menyebabkan kerja-kerja lain tertangguh dan banyak lagi. Untuk kesan kepada mangsa kemalangan pula mungkin menyebabkan tekanan kehidupan dan trauma kepada mangsa serta keluarga. 

LANGKAH PENCEGAHAN 
7.         Terdapat pepatah menyatakan mencegah lebih baik dari merawat.  Dalam mencegah kemalangan ini, pelbagai teori telah dikeluarkan oleh pihak yang berkaitan dan yang paling popular adalah prinsip pencegahan yang di keluarkan oleh Kementerian Buruh dan Perkhidmatan Kebangsaan UK 1956.  Walaupun ianya telah hampir separuh abad tetapi masih relavan, antara prinsip tersebut adalah: 
a.Kerjasama pengurusan dengan pekerja mestilah berterusan dan bersungguh-sungguh. 
b.Pemimpin tertinggi dan semua peringkat mestilah menyokong langkah keselamatan yang dilaksanakan. 
c.Dasar keselamatan dan kesihatan hendaklah jelas dan diketahui oleh semua peringkat. 
d.Pengetahuan dan kaedah terbaik mestilah digunakan. 
8.         Selain itu dalam mengawal kejadian kemalangan yang berlaku, terdapat juga teori mengawal hazard iaitu dengan menghapuskan hazard dari tempat kerja, mengalihkan hazard ke tempat lain, kawalan kejuruteraan dengan mengunakan peralatan tertentu seperti kipas ekzos untuk mengalihkan udara kotor, kawalan pentadbiran dengan membuat prosedur tertentu dan akhir sekali adalah penggunaan PPE.  
KESIMPULAN 
9.         Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu dititik beratkan kerana ia banyak memberi kesan yang baik kepada pekerja dan organisasi.  Untuk merealisasikan perkara ini perlu wujud kerjasama yang erat antara organisasi dengan pekerja.  Peningkatan pengetahuan, kemahiran dan penguatkuasaan secara berterusan sangat penting dalam menjamin suasana, keadaan dan kelakuan kerja yang selamat dapat diwujudkan.  Keselamatan dan kesihatan pekerja perlulah diberi keutamaan dari segala-galanya.

No comments:

Post a Comment