Tuesday 18 June 2013

Bajet 2014 dibentang 25 Oktober



PUTRAJAYA 18 Jun - Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Okt ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Najib juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kewangan awam dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang melibatkan menteri-menteri Kabinet tertentu dan ketua-ketua jabatan.
"Pejabat dasar fiskal di Perbendaharaan akan berkhidmat untuk jawatankuasa ini. Ini menunjukkan keseriusan dari segi menguruskan kedudukan fiskal dan mengurangkan defisit fiskal kita," kata beliau dalam ucapan perasmian majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini.
Kerajaan berada kedudukan yang betul untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas kepada empat peratus tahun ini.
"Sasaran kita ialah untuk memenuhi sasaran fiskal jangka sederhana kira-kira tiga peratus daripada KDNK pada 2015 tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi domestik dan sokongan fiskal berterusan bagi inisiatif transformasi.
"Ini akan dicapai melalui gabungan berhemah yang bijak tetapi perbelanjaan produktif dan pengukuhan langkah-langkah peningkatan hasil yang termasuk pulangan cukai yang lebih baik dan penguatkuasaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)," kata beliau.
Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Mengenai perundingan berkenaan, Najib berkata, 96 memorandum telah dikemukakan meliputi pelbagai aspek makro, isu-isu sektoral dan sosial kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan.
"Saya percaya antara 96 memorandum itu dan sebahagiannya akan dipertimbangkan di mana kita fikirkan sesuai dengan matlamat kerajaan.
"Ia tertumpu kepada dua elemen iaitu merancakkan ekonomi negara dan menentukan kesejahteraan rakyat secara inklusif," kata beliau.
Najib berkata tema perundingan belanjawan tahun ini ialah 'Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi'.
"Bajet tahun ini adalah suatu yang amat penting kepada kerajaan yang telah diberi mandat baharu untuk memenuhi aspirasi rakyat," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment