Wednesday, 19 June 2013

Ajaib Matahari Buatan Manusia





Bukan melawan kekuasaan Tuhan tetapi bagi menyelesaikan permasalahan penduduk kampung di sebuah perkampungan bernama Viganella, Itali. Kampung ini yang terletak di sebuah lembah yang dikelilingi bukit bukau dan gunung ganang yang tinggi mengalami masalah iaitu tidak mempunyai cahaya matahari.
Dari pertengahan November hingga awal Februari iaitu pada musim sejuk, kampung ini akan menjadi gelap gelita tanpa cahaya matahari yang asli. Hanya selepas waktu itu barulah penduduk kampung Viganella menikmati cahaya matahari asli. Pelbagai usaha dicari bagi menangani permasalahan itu dan akhirnya datang seorang arkitek bernama Giacomo Bonzani di kampung itu dan memberikan satu idea yang bernas.
Walaupun idea itu dilihat pelik tetapi sangat berkesan.Giacomo Bonzani meletakkan satu cermin gergasi di satu sudut dekat pergunungan kampung itu. Tujuannya adalah untuk membolehkan cahaya matahari terkena pada cermin itu dan seterusnya memantulkan semula ke kampung tersebut.
Akhirnya kampung yang selalunya gelap pada musim sejuk itu mula menikmati cahaya matahari seperti sediakala. Cermin itu bersaiz 40 kaki, lapan meter lebar dan lima meter tinggi. Ianya diletakkan kira-kira 870 meter di atas perkampungan itu.
Cermin itu dikawal oleh satu perisian bagi menambahkan lagi keberkesanan cermin. Perisian itu boleh mengesan cahaya matahari dan memberi arahan kepada panel cermin supaya sentiasa menghalakan cahaya matahari ke kampung itu.
Kampung itu mula menjadi tumpuan ribuan pelancong sejak cermin gergasi itu dipasang lima tahun lalu. Menurut Bonzani, ketika dia mula-mula mengutarakan idea tersebut, tiada siapa yang yakin tentang keberkesanannya.
” Tetapi saya percaya ia boleh membuahkan hasil. Saya yakin pada hukum fizik,” katanya.

No comments:

Post a Comment