Tuesday, 11 June 2013

Ronaldo mahu kekal di Real



Cristiano Ronaldo akan membincangkan kontrak baharu bersama Real Madrid selepas pulang daripada percutian. - AFP
MADRID - Presiden Real Madrid, Florentino Perez menegaskan, bintang sayap Portugal, Cristiano Ronaldo mahu meneruskan komitmennya bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu biarpun dikaitkan dengan kepulangan semula ke kancah bola sepak Inggeris.
Ronaldo, 28, sebelum ini memberi isyarat bahawa dia bercadang untuk meninggalkan Madrid apabila kontraknya berakhir pada 2015 dan keberatan untuk membincangkan mengenai terma baharu dalam kontraknya.
Begitupun Perez menegaskan, pemain Portugal itu sudah menemui pengurusan kelab baru-baru ini dan mengesahkan dia sedia untuk memulakan rundingan.
"Saya mahu menjelaskan keadaan kepada semua. Adalah menjadi sasaran saya, sasaran Cristiano dan sasaran penyokong Real Madrid untuk melihat dia menyarung jersi kami selama yang mungkin.
"Apabila ramai orang berkongsi hasrat yang sama, perkara itu biasanya akan berlaku. Saya mahukan dia, Real Madrid mahukannya, pemain itu juga mahu perkara yang sama... tanpa sebarang keraguan," tegas Perez kepada akhbar Sepanyol, Marca.
Perez turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan Ronaldo akan dibenarkan meninggalkan Madrid pada musim panas ini jika Real menerima tawaran yang munasabah.
"Dia masih berbaki dua tahun dalam kontraknya. Semua orang memikirkan dia akan pergi esok, sedangkan kami mahu dia berada di sini untuk tempoh yang lebih lama. Cristiano berada dalam projek jangka panjang kami.
"Real Madrid adalah pasukan yang bergantung kepada pemain yang hebat. Menjadi tradisi kami, dalam satu legasi pasti memiliki seorang legenda.
"Dulu kami ada Alfredo Di Stefano, kemudian Zinedine Zidane dan sekarang jelas fokus utama adalah kepada Ronaldo. Tiada perkara yang lebih baik daripada memiliki pemain terbaik dunia dalam pasukan anda.
"Kami percaya Ronaldo akan memahat nama dalam sejarah kelab menyamai apa yang telah dilakukan oleh Di Stefano," katanya lagi.
Perez bagaimanapun mengakui, tiada rundingan rasmi diadakan dengan pihak Ronaldo ketika ini kerana mereka sentiasa berbincang sepanjang masa.
"Kalau anda tanya saya, apakah kami ada menyentuh tentang wang, jawapannya tidak. Sekarang bukan masa yang sesuai, itu kita kena tunggu selepas dia (Ronaldo) kembali daripada bercuti. Tetapi di Real, kami sentiasa berbincang," kata Perez. - Agensi

No comments:

Post a Comment