Monday, 17 June 2013

Benar @ karut

‘Duduklah bersimpuh depan muka pintu, nanti orang lelaki tak masuk meminang’. Antara pantang larang yang sering kali digunakan, ketika melarang anak perempuan duduk di muka pintu. Apakah ia sekadar menakutkan atau terdapat bukti kesahihan berkaitan larangan itu?
Pantang larang ini sebenarnya ada yang berbentuk peringatan, sekadar menakutkan dan juga mengarut, lalu tidak berlandaskan hukum Islam yang sebenar.
Larangan anak perempuan makan dalam pinggan sumbing kerana bimbang akan ada hutang yang bertimbun, sebenarnya perbuatan itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah.

Begitu juga larangan seperti tidak membuang air kecil dan besar di dalam hutan, bimbang jika ada penunggu yang akan ganggu di malam hari. Namun larangan itu sekadar bertujuan untuk menjaga adab dan kebersihan alam sekitar.

Masyarakat kita di Malaysia, mempunyai 1001 jenis pantang larang. Tidak kira Melayu, India dan Cina ada pantang larang masing-masing mengikut pemahaman dan budaya sendiri.

Zaman dengan teknologi moden kini, tidak semua orang mengamalkan pantang larang yang seolah-olah mengarut dan tidak boleh diterima akal. Namun ada juga membawa kebaikan jika pantang larang diikuti dan menjadi amalan.

Walaupun sesetengah daripada pantang larang tidak dapat diterima akal, ia tetap indah dan berseni. Adakah pantang larang yang dilanggar akan benar-benar terjadi musibah?

Sesekali kita mendengar berkaitan pantang larang ini seolah menyekat kebebasan individu untuk melakukan sesuatu perkara, sedangkan hal itu akan memberikan kesan buruk terhadap diri sendiri.

Sebagai contoh jangan minum banyak ais, bimbang nanti seseorang itu akan terkena demam dan batuk berpanjangan. Benar kerana individu yang banyak minum ais batu akan menyebabkan batuk dan selsema yang tidak sesuai dengan penerimaan badan manusia. Ramai golongan veteran berpesan akan hal yang sama kepada anak muda.

Namun ada juga yang tak masuk akal seperti apabila ada orang yang sedang menyapu, lalu terkena kaki orang lain akan dikatakan pembawa sial dan menyanyi di dapur bimbang akan berkahwin dengan orang tua. Secara akalnya tidak logik dan tidak nampak kebenarannya kerana jodoh, ajal dan maut ketentuan Tuhan.

Masyarakat lama mempercayai pantang larang yang dikatakan bertujuan untuk mengajar masyarakat sekeliling mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

Pantang larang juga diamalkan seolah-olah seperti harta pusaka nenek moyang zaman dulu dan sesetengah pihak beranggapan mereka harus mengamalkannya dan menurunkan tradisi itu kepada anak dan cucu mereka nanti.

Harus diingatkan bahawa tidak semua pantang larang itu benar. Kita sendiri boleh fikirkan baik dan buruk berkaitan sesuatu perkara tanpa perlu ada sebarang pantang larang. Ada juga pantang larang yang memberikan banyak kelebihan kerana menyedarkan orang ramai berkaitan sesuatu perkara.

Pantang larang seperti peringatan ada ketikanya membawa kebaikan, misalnya tidak membiarkan bekas beras di rumah kosong kerana dianggap akan memendekkan rezeki seseorang tetapi sebenarnya bertujuan memberikan peringatan kepada tuan rumah untuk menyediakan makanan, terutama apabila mendapat kunjungan tetamu.

Filem Musang Berjanggut banyak mengisi elemen dan adegan pantang larang, memakai kasut ketika menyeberangi sungai. Bunyinya seakan pelik tapi sebenarnya membawa kebaikan, seperti bimbang jika terpijak kaca dan duri. Selain memakai payung di dalam hutan untuk mengelak ular atau pohon menimpa tubuh.

Anak muda kini juga ada ketikanya tidak percaya kepada pantang larang ini dan beranggapan ia sekadar jenaka untuk menakutkan mereka. Tetapi ada juga yang harus mereka turuti. Apabila dinasihatkan oleh nenek di kampung langsung tidak dipedulikan, kononnya pandai membawa diri.

Pun begitu, harapnya pantang larang ini akan terus diwarisi sampai bila-bila, walaupun mengalami perubahan dan kian diubah oleh masyarakat kini. Hanya pantang larang yang berbentuk tidak logik dan ‘animisme’ iaitu kepercayaan kepada makhluk halus dan roh saja yang semakin terhakis.


Pantang larang mengikut amalan kaum di Malaysia:

Kaum Melayu : Ketika masih hamil

Dikatakan banyak pantang larang orang Melayu ketika hamil antaranya mereka yang sedang hamil ini dilarang untuk mencaci atau mengumpat, bimbang andai ada kesan buruk berlaku ke atas anak. Dilarang juga untuk memaku atau menggali tanah. Suami juga dilarang untuk memukul atau melanggar binatang, seperti kucing yang sedang melintas jalan kerana akan membuatkan bayi di dalam perut isteri, mengalami cacat anggota badan jika haiwan yang di langgar mendapat kecederaan. Ibu yang sedang mengandung juga dilarang untuk keluar pada waktu petang atau senja dan dilarang duduk di atas anak tangga, untuk melihat gerhana bulan atau matahari. Semua adalah untuk menjaga keselamatan anak yang dikandung.


Kaum Cina: Sambutan perayaan

Masyarakat Cina mempercayai bahawa mereka tidak boleh menyapu rumah pada hari raya pertama kerana menganggap ia boleh membuang segala keuntungan atau ‘ong’ pada hari itu. Mereka juga percaya akan ditimpa malang, jika terdapat pinggan mangkuk yang digunakan pada hari perayaan Tahun Baru Cina pecah. Jadi pada hari itu, mereka akan lebih berhati-hati ketika melakukan kerja rumah. Perkataan yang tidak sopan seperti mati, hantu, ataupun perkataan kotor yang lain, amat dielakkan. Mereka berpendapat akan membawa keburukan sepanjang tahun itu.


Kaum India: Perkahwinan

Berbeza kaum India, ketika merisik mereka akan saling membalas kunjungan tetapi rombongan sebelah perempuan melarang bakal pengantin ikut serta kerana dianggap kurang sopan. Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, kad jemputan perlu disediakan dan dibuat berdasarkan ‘almanak’ Hindu tanpa ada sebarang kesilapan. Jika ada beberapa kesalahan pada kad jemputan, perkahwinan yang bakal berlangsung tidak dapat dijalankan dengan lancar. Jika jamuan perkahwinan dilakukan di kuil, hanya sayur-sayuran yang akan dihidangkan kepada para tetamu dan makanan lain tidak boleh terutamanya daging lembu kerana agama mereka melarang.


Ada baik buruknya

“Dalam keluarga tiada pantang larang yang kami amalkan, cuma sikit-sikit pesanan emak seperti jangan baring di atas lantai yang sejuk kerana tidak baik untuk belakang badan.

“Sebenarnya, banyak pantang larang yang ada saya dengar daripada orang-orang tua selain jangan potong kuku di waktu malam, nanti pendek umur dan jangan nyanyi di dapur, nanti akan berkahwin dengan lelaki tua.

“Bagi saya semua itu hanya mitos semata-mata kerana ada benar dan ada juga tidak. Kita sendiri boleh fikir baik dan buruk sesuatu perkara itu. Namun ada juga benarnya pantang larang ini.

“Kalau baring di atas lantai simen yang sejuk itu, bagi saya mungkin ada benarnya kerana saya juga kadang kala berasa tidak selesa apabila baring tanpa beralaskan bantal atau tilam.

“Pernah sekali saya tidur tidak beralaskan tilam, apabila bangun pagi keesokannya, seluruh badan berasa sakit dan lenguh mungkin kerana keadaan simen lantai yang sejuk. Selepas itu, saya sentiasa beringat untuk tidak melakukan perkara yang sama lagi.

“Saya ada seorang rakan berbangsa India yang pernah menceritakan kepada saya, berkaitan dengan pantang larang kaum India, di mana pada hari Selasa atau setiap malam, mereka tidak digalakkan keluar kerana bimbang tiada rezeki buat keluarga mereka.

“Bagi saya, pantang larang ini sekadar ingin menakutkan saja, jangan terlalu mudah percaya, mungkin ada yang boleh kita amalkan dan ada yang bertentangan dengan akidah Islam,” katanya.

Nama: Zurine Anuar
Umur: 23 tahun
Lokasi: Perak


Sebagai satu adab

“Tidak ada pantang larang khusus yang saya amalkan namun apabila menyertai beberapa perkhemahan atau ada sebarang aktiviti di dalam hutan, ada juga pantang larang yang saya ikuti sehingga kini.

“Pantang larang seperti tidak bercakap besar di dalam hutan, bimbang andai ada penunggu hutan yang mendengar ucapan yang keluar dari mulut sendiri terutama memaki atau marahkan sesuatu.

“Emak selalu berpesan semasa masuk ke dalam hutan, jika terdengar sahutan jangan dijawab atau jangan menegur sesuatu yang pelik bila terlihat.

“Bagi saya ada benarnya kerana banyak juga kawan yang masuk ke hutan, bila menegur sesuatu yang aneh terus demam atau histeria. Pantang larang ini ada kebaikan seperti memberi pengajaran, amaran dan peringatan.

“Ada pantang larang lain ketika masuk hutan iaitu tidak mengutip atau mengambil benda yang ganjil di hutan, bimbang andai barang yang diambil ada penunggu.

“Adab dan pantang larang ini bukanlah sesuatu yang karut, pada pandangan saya sememangnya sebagai seorang Muslim, kita mempercayai wujudnya alam ghaib dan mereka secara lazimnya tinggal di hutan.

“Saya kerap kali juga mendengar cerita aneh apabila seseorang itu melanggar pantang larang ini. Mereka yang bernasib malang akan mendapat balasan daripada apa perbuatan yang mereka lakukan.

“Walaupun banyak perubahan berlaku pada zaman kini, masih ada anak muda yang mengikuti pantang larang ini ke mana saja mereka pergi. Kalau ada tercuit rasa ragu dengan hal ini, saya rasakan mereka perlu cuba dulu amalkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment