11/04/2013 4:44pm
KANGAR - Kemakmuran dan keamanan Malaysia menjadi alasan pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar memasuki negara ini untuk mencari rezeki, kata Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kawasan Chuping, ASP Syed Basri Syed Ali.
Menurutnya, kebanyakan warga Myanmar yang ditahan memberi alasan berminat berkongsi kemakmuran dan keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia.
Bercakap kepada pemberita mengenai kejayaan UPP menahan 25 lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh antara Isnin lalu dan awal hari ini, beliau berkata para pendatang itu tertarik dengan kisah yang diceritakan rakan senegara mereka di negara ini yang dapat menjalani kehidupan jauh lebih baik dari di negara mereka sendiri.
Syed Basri berkata, PATI itu didapati membayar RM5,500 seorang kepada 'tekong darat' untuk menguruskan perjalanan mereka dari Myanmar hingga sempadan Thailand-Malaysia sebelum membolosi negara ini.
Mereka turut menceritakan bahawa mereka terpaksa menaiki bot dari Myanmar selama tujuh hari sebelum tiba di Satun, selatan Thai dan seterusnya berjalan kaki selama empat hari ke sempadan Thailand-Malaysia.
Beliau percaya jumlah mereka yang meninggalkan Myanmar lebih besar dan berpecah ketika tiba di Satun.
Kira-kira 3.23 pagi tadi, seramai 15 orang yang berumur antara 11 dan 25 tahun ditahan UPP di kawasan ladang getah dan sawit di Km 19, Jalan Padang Besar-Ulu Pauh.
Mereka yang kebanyakannya hanya berkain pelikat kelihatan letih dan tidak bermaya dipercayai akibat kelaparan dan melalui perjalanan yang jauh.
Sebelum itu Isnin lalu, seramai 10 lelaki yang berumur antara 18 dan 36 tahun ditahan di Kampung Guar Medang Gatal dan Kubang Perun manakala sehari kemudian, seorang lelaki Bangladesh berumur 18 ditahan ketika sedang merayau di kawasan kebun getah berhampiran Kompleks Peladang Mata Ayer.
Syed Basri berkata kesemua mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen. - Bernama
No comments:
Post a Comment