Sunday, 21 April 2013

LIONS XII RAMPAS TAKHTA


PENYERANG import baharu T-Team, Damir Ibric (dua dari kanan) diasak pemain Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.



LIONS XII kembali memimpin kedudukan teratas Liga Super selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.
Kejayaan meraih tiga mata penuh itu sudah cukup buat Lions XII untuk menghuni tangga teratas selepas mengumpul 27 mata, sekali gus memintas Johor Darul Takzim (Johor DT) dengan kelebihan dua mata.
Penyerang Lions XII, Shahfiq Ghani muncul wira apabila menjaringkan dua gol iaitu pada minit ke-27 dan ke-71 untuk menewaskan skuad The Gladiators.
Pada aksi tersebut, Shahfiq mula mencuri tumpuan apabila menyempurnakan hantaran lintang kapten pasukan, Shahril Ishak untuk mendahului 1-0.
Gol kedua Lions XII pula disumbangkan oleh Shahril menerusi sepakan penalti selepas pertahanan ATM, Amirizwan Taj Tajuddin mengasari Nazrul Nazari pada masa kecederaan babak pertama.
Penyerang import ATM, Marlon Alex James mula merapatkan jurang pada minit ke-61 namun ia tidak bertahan lama apabila Shahfiq meledakkan gol ketiga Lions XII 10 minit kemudian.
Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sentuhan berbisa jurulatih pengganti skuad T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Noor berjaya menamatkan kemarau kemenangan pada saingan Liga Super dengan menumpaskan Perak 2-0.
Pada perlawanan itu, pemain sayap T-Team, Ahmad Takhiyuddin membuka tirai jaringan melalui rembatan kencang hasil lorongan Azrul Hazran pada minit ke-34 sebelum Abdul Latif Suhaimi menambah gol kedua pada minit ke-75.
Di Stadium Petaling Jaya, Terengganu meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Felda United 2-1.
Pada aksi tunggal Liga Premier, tuan rumah, Sarawak mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Negeri Kuching.

No comments:

Post a Comment