Thursday, 11 April 2013

Mahali, lelaki paling rapat - Tasha Shila


TASHA pertama kali bersua dengan Mahali pada majlis hari jadinya yang ke-27 pada 25 Januari lepas.


KISAH cinta antara selebriti dengan pemain bola bukan lagi kisah baharu. Malah, ada antara selebriti tersebut mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak.
Begitupun, ada juga sesetengah selebriti yang berkahwin dengan pemain bola sepak tidak dapat mempertahankan bahtera perkahwinan dan berakhir dengan perceraian.
Antara selebriti yang berkahwin dengan pemain bola sepak termasuklah pelakon Ayu Raudhah dengan Zaquan Adha, Rita Rudaini dan Aidil Zafuan serta penyanyi dan pelakon, Haleeda dengan Azman Adnan.
Tidak ketinggalan Zack Haikal dengan penyanyi, Zetty. Begitu juga Azman Adnan dengan Asfarina Muhamad atau As Feminin, Salwa Abdul Rahman dan Subadron Azi serta Shahril Arshad dan Noraini Morat.
Sementara, Safiq Rahim pula pernah digosip bercinta dengan seorang pelakon dan pengarah muda, Nurul Ain Nordin.
Terkini, pelakon sensasi, Tasha Shilla pula dikaitkan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mahali Jasuli.
Tasha, 27, dan Mahali, 24, mula dikaitkan mempunyai hubungan selepas kedua-duanya saling mengucapkan sayang - baik melalui perkataan mahupun simbol, ketika berhubung menerusi Twitter masing-masing baru-baru ini.
Sehubungan itu, kelmarin, Mahali membuat kenyataan media bahawa dia kini dalam proses mengenali hati budi Tasha.
Cemburu
Tasha ketika dihubungi Kosmo! semalam lantas memberikan kenyataan pertamanya tentang isu tersebut.
Akui Tasha, Mahali merupakan lelaki yang paling rapat dengan dirinya buat masa ini.
Menolak hubungan rapatnya dengan Mahali bakal membuatkan ada hati yang cemburu, luah Tasha, dia berhak berkawan dengan sesiapa sahaja.
Ini kerana bagi Tasha, hubungannya bersama Datuk J yang digembar-gembur selama ini hanyalah gosip semata-mata.
Mengulas kenyataan terbuka Mahali tentang hubungan mereka itu, ujar Tasha: “Seperti apa yang disebut Mahali (kami dalam proses mengenali hati budi), saya juga akui memang kami sedang berkawan.
“Dia juga merupakan antara lelaki yang paling rapat kerana saya memang jenis suka berkawan.
“Hubungan rapat saya dengan dia tidak akan membuatkan hati sesiapa yang tersinggung kerana gosip dengan Datuk J sebelum ini adalah tidak benar.”
Perkataan sayang

UCAPAN sayang antara Tasha dan Mahali menerusi Twitter baru-baru ini menjadi pencetus kepada pendedahan tentang hubungan rapat antara mereka berdua kepada pengetahuan umum.


Begitupun, jelas Tasha, dia baru mengenali Mahali selama lima bulan dan terlalu awal untuk mereka memasuki fasa bercinta.
Pelakon drama bersiri Cinta Bertamu di Abu Dhabi berharap agar hubungan rapatnya dengan Mahali tidak diperbesar-besarkan.
“Kami masing-masing masih muda dan ingin mengejar karier,” jelasnya.
Bercerita tentang bagaimana dia mengenali Mahali, ujar Tasha, dia mendapat tahu melalui surat khabar bahawa pemuda kelahiran Selangor itu menyukai lakonannya.
Selepas itu, seorang peminat Tasha menjemput Mahali ke majlis sambutan hari jadi yang ke-27 pada 25 Januari lalu dan mereka mula berkenalan dan berkawan.
Tasha turut ditebak tentang persolan kenapa dia dan Mahali masing-masing mengungkap perkataan sayang di Twitter jika hubungan mereka hanya sekadar kawan?
Jawabnya, sudah sememangnya dirinya merupakan seorang yang suka mengungkap perkataan sayang kepada peminat-peminatnya termasuk Mahali.
“Memang di Twitter, saya akan panggil semua peminat-peminat dengan perkataan sayang. Itu tanda penghargaan saya kepada peminat. Mahali juga salah seorang peminat saya. Sebab itulah itu saya memanggil dia sebagai sayang.
“Saya memang menghargai dan gembira apabila mendapat tahu seorang pemain bola sepak berbakat seperti Mahali meminati lakonan saya,” tutur Tasha yang turut mengakui dirinya juga meminati Mahali kerana bakat pemain bola sepak kebangsaan itu ketika beraksi di padang.
Terlanjur bercerita mengenai persahabatan yang terjalin, Tasha turut ditanya adakah dia pernah keluar berdua bersama Mahali.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Natashasheila Abd. Razak itu enggan mengulas lanjut dan hanya menyebut perkataan no comment.
Tambah Shilla, komitmennya terhadap lakonan dan komitmen Mahali di padang bola sepak juga membataskan mereka untuk kerap menghubungi antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment