Tuesday 16 April 2013

Wan Zack terpaksa berehat selama dua minggu



WAN Zack dipapah keluar padang oleh pegawai pasukan selepas mengalami kecederaan pada sesi latihan semalam.


OKINAWA, Jepun - Kem latihan FC Ryukyu menerima tamparan hebat apabila kelab Divisyen Ketiga Liga Jepun (Liga J) itu bakal terlepas khidmat pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor menjelang aksi menentang Yokohama Sports and Culture Club (YSCC), Sabtu ini.
Pemain kelahiran Pahang itu mengalami kecederaan ketika menjalani latihan semalam.
Jurulatih FC Ryukyu, Norihiro Satsukawa muncul individu paling kecewa dengan perkhabaran buruk itu.
Satsukawa menjelaskan, beliau bakal terlepas khidmat Wan Zack yang mempamerkan prestasi cemerlang ketika menewaskan Sagawa Printing 2-1 pada penampilan pertamanya di Stadium Okinawa City Atheltics, Sabtu lalu.
Beliau secara terbuka mendedahkan, kehilangan Wan Zack mungkin menjejaskan perancangannya pada aksi menentang YSCC di Stadium NHK Springs Mitsuzawa Football itu nanti.
Jelasnya, Wan Zack yang baru pulih daripada kecederaan kaki kirinya, bakal direhatkan sekurang-kurang dua minggu.
Katanya, beliau kini terpaksa merangka strategi baharu dalam usaha untuk terus memburu tiga mata berharga di gelanggang lawan, sebagai usaha untuk terus berada dalam kelompok lima teratas liga.
Untuk rekod, FC Ryukyu kini menduduki tangga kelima daripada 18 pasukan yang bersaing selepas mengutip 11 mata sepanjang enam perlawanan.
"Ia merupakan satu tamparan hebat buat kami kerana dia merupakan seorang pemain yang cukup berpotensi.
"Kehilangan Wan Zack bakal dirasai memandangkan dia telah mempamerkan prestasi cukup cemerlang selain menjadi senjata sulit buat FC Ryukyu.
"Apa yang pasti, dia tidak akan beraksi ketika menentang YSCC pada hujung minggu ini dan saya terpaksa mencari alternatif baharu bagi mengekalkan rentak cemerlang pasukan.
"Harapan untuk mengutip tiga mata ketika bertandang di gelanggang lawan bukan satu tugas yang mudah dan kami harus lakukan yang terbaik tanpa khidmat Wan Zack," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kendaliannya itu semalam.
Dalam perkembangan lain, Satsukawa memberitahu, kehadiran Wan Zack dan Nazirul Naim Che Hashim memberikan lebih banyak pilihan dalam usaha memperkuatkan skuad FC Ryukyu musim ini.
Begitupun, beliau turut mendedahkan kelemahan yang ada pada dua pemain negara itu, namun Satsukawa yakin ia dapat diatasi seandainya mereka bekerja keras dalam setiap sesi latihan.
"Sejujurnya, mereka merupakan pemain muda yang memiliki potensi," katanya.

No comments:

Post a Comment