Sunday 21 April 2013

Johor DT bernafsu besar



KEHADIRAN Nunez memberi impak yang besar kepada Johor DT.



SELEPAS mencatat tiga kemenangan berturut-turut, pengendali Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad yakin pasukan itu sudah mendapat momentum sebenar untuk terus melakar kejayaan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Johor DT mara ke pusingan separuh akhir Piala FA selepas menyingkirkan Selangor di Stadium Shah Alam, Selasa lalu dan kelmarin, skuad Harimau Selatan itu melonjak ke tangga teratas Liga Super apabila menewaskan Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Johor DT turut menewaskan Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 12 April lalu.
Fandi berkata, anak-anak buahnya kini jelas mempunyai keinginan yang besar untuk memburu kemenangan namun harus mempelbagaikan kreativiti dalam permainan supaya mampu menghasilkan lebih banyak gol pada perlawanan seterusnya.
"Kemenangan ini (kelmarin) bukan hadir dengan mudah kerana pemain harus bekerja keras dan Pahang juga merupakan sebuah pasukan yang bagus.
"Apa yang pasti, kemenangan ketiga berturut-turut ini menambah keyakinan pemain untuk terus mengekalkan momentum kejayaan. Mereka juga harus meningkatkan prestasi masing-masing," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.
Jelas Fandi, kejayaan berturut-turut Johor DT juga banyak dibantu empat pemain yang diambil dari sebuah lagi pasukan di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) iaitu Andre Da Silva, Mohd. Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad dan Jasazrin Jamaludin.
Kehadiran pemain import baharu dari Argentina, Leonel Jorge Nunez turut memberi impak besar dalam pasukan.
Katanya, pemain berusia 29 tahun itu mempunyai penyudah luar biasa dan mampu membuat hantaran menarik kepada rakan-rakan sepasukan.
"Saya gembira dia mampu bermain lebih 70 minit pada perlawanan tadi (kelmarin) dan lebih penting, dia mengotakan janjinya untuk menjaringkan gol.
"Namun, dia tahu saya ingin dia menurunkan berat badan antara lima hingga tujuh kilogram kerana lebih 'slim', dia pasti akan lebih hebat. Sehingga kinipun, dia sudah turun sebanyak tiga kilogram," katanya.
Dalam pada itu, Fandi mengesahkan Zaquan Adha Abdul Razak tidak akan dapat beraksi sehingga akhir musim kerana menjalani pembedahan.

No comments:

Post a Comment