ISTANBUL - Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho memuji semangat juang pemain-pemain Galatasaray selepas juara Turki itu menewaskan anak-anak buahnya 3-2 pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Meskipun tewas, Real tetap mara ke separuh akhir buat musim ketiga berturut- turut menerusi agregat 5-3 selepas menang 3-0 pada pertemuan pertama di Stadium Santiago Bernabeu minggu lalu.
Bagaimanapun, Real melalui detik cemas di Istanbul selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol pembukaan pasukan pelawat seawal minit kelapan.
Peluang Galatasaray kembali terbuka selepas Emmanuel Eboue, Wesley Sneijder dan Didier Drogba masing- masing menjaringkan satu gol pada minit ke-57, ke-71 serta ke-72.
Real yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Al- varo Arbeloa dilayangkan kad merah pada minit ke-90, kembali menarik nafas lega selepas Ronaldo menyumbat gol kedua pada masa kecederaan.
Mourinho mengakui suasana di Turk Telekom Arena memberikan inspirasi kepada para pemain tuan rumah untuk menampilkan kebangkitan.
"Saya seronok untuk menghadapi semua perlawanan dalam stadium seperti ini.
"Semua orang mahu bermain dalam suasana seperti ini, ia adalah suasana yang sempurna untuk bola sepak.
"Saya tidak fikir, para pemain saya merasai suasana seperti ini. Situasi itu menyuntik semangat pemain- pemain Galatasaray untuk beraksi lebih baik pada babak kedua.
"Saya bukannya kurang gembira dengan pemain-pemain saya tetapi saya gembira dengan pemain-pemain dan penyokong Galatasaray kerana sekiranya anda menghadapi sesuatu pertandingan, anda perlu melakukan seperti ini," kata Mourinho. - Agensi
No comments:
Post a Comment