Monday, 15 April 2013

Fokus utama Kim Swee

HASRAT Harimau Muda memburu kemenangan sulung sepanjang menimba ilmu di bumi Eropah kali ini masih belum terlaksana.
Selepas sekadar melakar keputusan seri 1-1 dan 0-0 dengan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Slovakia dan Norway sebelum ini, anak-anak buah Ong Kim Swee juga gagal menyaingi kehebatan pasukan Eropah apabila tumpas 1-7 kepada skuad B-21 Georgia dan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4) baru-baru ini.
Kerapuhan benteng pertahanan Harimau Muda sepanjang empat perlawanan itu juga mengundang kerisauan Kim Swee yang mahu masalah tersebut diatasi segera sebelum kembali berdepan MSK Zilina pada 17 April nanti.
"Kami akan menumpukan fokus untuk memantapkan benteng pertahanan sepanjang latihan minggu ini sebagai persediaan berdepan Zilina," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.
Ketika ini, benteng pertahanan skuad muda negara diterajui oleh Mohamad Fadhli Shas, Shahrul Saad dan Fandi Othman.
Begitupun, Mohamad Fadhli hanya kembali menyertai Harimau Muda di Slovakia selepas membantu Harimau Malaya mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015, bulan lalu.
Di sebalik kegagalan anak-anak buahnya melakar kemenangan sulung dalam siri persahabatan kali ini, Kim Swee percaya ia mampu mematangkan corak persembahan anak-anak buahnya menjelang misi yang lebih besar bagi mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.
"Ia membuktikan Harimau Muda belum memberikan tahap yang memuaskan terutamanya apabila mensia-siakan beberapa peluang keemasan memburu gol," katanya.
Kim Swee memberitahu, kesemua pemainnya dituntut supaya mempamerkan semangat juang yang tinggi selain mengekalkan disiplin dan konsentrasi dalam mana-mana perlawanan selepas ini.
Untuk rekod, siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013.
Mereka dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan lagi di sana selepas ini apabila hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.
Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.

No comments:

Post a Comment